Friday, February 1, 2013

LEBAH MADU - PERALATAN 3

LEBAH MADU (Honey bee) merupakan serangga yang boleh diternak secara komersil untuk menghasilkan pelbagai produk seperti madu, pollen, lilin lebah, propolis, royal jelly dan banyak lagi. Penternakan lebah madu di Malaysia masih belum dieksploit sepenohnya pada masa ini walau pun mempunyai potensi amat baik. Terdapat 3 jenis lebah yang menghasilkan madu iaitu Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Impot(Apis melifera) dan Lebah Tualang/Lebah Liar (Apis dorsata). Lebah Tualang tidak boleh diternak kerna sifatnya yang liar habitat semulajadinya. Lebah Keran (jenis lebah tempatan) dan Lebah impot sesuai di ternak secara komersil menggunakan amalan penternakan dan teknologi sedia ada. Penternakan lebah madi moden memerlukan peralatan dan kelengkapan khusus bagi digunakan. Antara keperluan dan peralatan memelihara lebah madu adalah seperti HAIF LEBAH (bee hive), PENGASAP (Smoker), PAKAIAN SUT (Bee suit), PENUTUP MUKA (Veil), PENGEMPAR MADU (Honey Extractor), SARUNG TANGAN (Gloves), PISAU PEMISAH (Scraper/Knife), BERUS (Brush), PENAPIS MADU, BOTOL, LILIN KOM TIRUAN  dan sebagainya. Artikel malam ini sambil menonton perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki antara Malaysia lawan Thailand saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai peralatan untuk menternak lebah madu.

PENAPIS MADU adalah adalah sejenis penapis yang digunakan untuk menapis madu yang dikumpulkan oleh Alat Pengempar (Honey extractor). Madu yang dihasilkan dari kom madu mengandungi pelbagai bahan asing seperti anak lebah, kepingan kom, telur lebah, perca-perca kayu dan sebagainya. Bahan-bahan asing ini perlu diasingkan daripada madu asli dengan menapis menggunakan penapis madu. Penapis madu ini sebaiknya ada dua atau tiga saiz bermula dengan saiz kasar, sederhana dan halus. Tapis kasar digunakan peringkat tapisan permulaan dan diikuti dengan tapis kedua dan tapis halus. Jika kutipan madu dalam pengempar bersih, memadai dengan dibuat sekali atau dua kali penapisan madu asli tersebut. Sebaiknya penapis madu  adalah dari kain kasa atau penapis yang diperbuat daripada bahan stainless steel atau plastik untuk mengelakkan sebarang kontaminasi logam. Buang sisa kekotoran dan tapis boleh dicuci untuk digunakan pada aktiviti akan datang.

BOTOL MADU (Honey packaging) merupakan kaedah pembungkusan paling lazim digunakan di Malaysia dan banyak negara. Pembotolan secara tradisional di Malaysia sering menggunakan botol terpakai daridapa botol kaca daripada sos tomato, kicap, cuka dan sebagainya dalam pelbagai saiz dan bentuk. Pembotolan lebah madu tualang dikampong-kampong lazimnya menggunakan botol bersaiz besar 15 ml sementara pembotolan madu lebah keran menggunakan botol bekas tomato bersaiz 10 ml. Botol perlu dibersihkan, dibasuh, dikeringkan, dipanaskan sebelum diisi dengan madu untuk elakkan kontaminasi. Penggunaan botol plastik kini semakin popular untuk pembotolan madu lebah komersil impot. Botol plastik ini mempunyai pelbagai bentuk dan saiz tetapi paling popular jenis botol plastik yang ada muncung dan mudah ditekan dimana madu akan keluar dihujingnya. Pembotolan ini paling banyak digunakan kerana ianya amat praktikal, bersih, mudah digunakan dan disimpan semula. 

LILIN KOM TIRUAN (artificial comb) merupakan kepingan lilin lebah yang dimasak dan dipasang pada bingkai (frame) dalam haif lebah. Kom Tiruan ini dicetak menggunakan blok khas berbentuk Hexagonal sama seperti tapak lebah membuat sarang. lilin tiruan ini boleh dibuat sendiri atau dibeli dari pembekal khas. Pasangkan lilin tiruan ini pada bingkai dengan meletakkan dibahagian tengah dan ikan atau kepit dengan kawat atau dawai dikiri dan kanan. Apabila koloni lebah mula membesar, lebah pekerja akan lebih cepat menyediakan ruangan kom baru sama ada pada tapak tiruan atau tapak dibina sendiri. Lilin Tiruan ini sanat membantu lebah pekerja didalam menyediakan ratu untuk bertelur, ruang simpanan madu dan ruang simpanan polen serta royal jelly. Teknologi penternakan lebah madu kini lebih moden dan praktikal dengan penggunaan peralatan dan teknologi yang semakin 'sophiticated'. Mampukah negara kita dapat menghasilkan sendiri madu lebah berkualiti dan adakah kita masih perlu terus mengimpot madu lebah dari luar negara?. Anda kena fikirkan dimana kedudukan negara kita yang panas sepanjang tahun dan bunga serta nektar ujud dikeliling kita, tetapi sayang ianya tidak dimenafaatkan... telah lama cuba dimajukan industri Apiari ini tetapi masih belum mencapai tahap dibanggakan.
Wasallam.


Kain kasa penapis madu yang praktikal.
ALATAN LEBAH MADU ... BANYAK JENISNYA...
PENAPIS MADU ... ASINGKAN KEKOTORANNYA...
BOTOL MADU ... ADA PELBAGAI KAEDAHNYA...
KOM LILIN TIRUAN... PRAKTIKAL KAEDAHNYA..

By,
M Anem
Apiari Lebah
Bukit Katil,
Melaka,
Malaysia
(30 Safar 1434H)

    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...