Support My Blog

Tuesday, July 31, 2012

FAKTUR PENINGKATAN HASIL PADI

TANAMAN PADI (Oryza sativa) merupakan tanaman yang penting di kebanyakan negara Asia dimana beras menjadi bahan utama makanan ruji (Staple Food) negara tersebut. Terdapat banyak negara didunia yang menjadikan tanaman padi sebagai tanaman yang di kategorikan sebagai 'tanaman keselamatan' bagi negara seperti China , India dan Indonesia kerana kepentinganya dalam mempastikan rakyat negara tersebut cukup bekalan beras. Pelbagai faktur penanaman seperti jenis varieti padi ditanam, pengurusan air, kawalan musuh dan penyakit dan amalan teknologi penanaman di jalankan untuk mempastikan penghasilan padi yang tinggi dan berkualiti. Amalan Agronomi bagi tanaman padi di kaitkan dengan Faktor Pengurusan Tanaman Padi itu sendiri dan beberapa faktur utama yang lain. Artikel petang ini saya menulis beberapa faktor pengurusan yang difikirkan perlu di semak dalam 'rice check' dalam 'Anim Agro Technology' bagi menambahkan ilmu pengetahuan pembaa setia blog ini.

Pertama sekali dalam faktur pra-syarat untuk mendapatkan hasil padi yang tinggi adalah Faktur Keperluan Infrastruktur dan Rekabenuk sawah padi.  Paling utama adalah petak sawah mestikan mempunyai infra lengkap seperti sistem pengairan, jalanladang, sistem perparitan dan lain-lain kemudahan.  Sistem pengairan pelu ditingkatkan agar sawah dapat menerima air mengikut keperuan dari peringkat awal semaian sehingga hampir menuai.  Bentuk petak sawah yang seragam, rata dan sederhana besar dalam bentuk empatsegi bujur sesuai untuk penanaman. Kesemua infra mestilah diselenggara dengan baik agar dapat berfungsi dengan sempurna untu penanaman, amalan aronomi dan post harvest.

Key Check kedua adalah Tahap Infra Ladang yang sesuai untuk memberikan tahap pertumbuhan ladang yang sempurna. Kecekapan air keluar dan masuk pada waktu kritikal amat penting untuk pertumbuhan pokok padi.  Pemeriksaan infra sawah perlu dijalankan setiap waktu bagi mempastikan kecekapannya. Penggunaan Benih Padi Sah dari varieti yang di syorkan merupakan Key Check dalam  peningkatan hasil padi. Benih merupakan input asas untuk mendapatkan penghasilan padi seperti varieti disyorkan (MR219, MR220) yang didapati daripada pembekal benih yang diiktiraf. Benih padi mempengaruhi faktur pengeluaran dimana Kualiti Benih yang menepati piawaian amat kritikal.

Gunakan Varieti Padi yang terpilih dan disyorkan untuk ditanam. Varieti padi berubah mengikut lokasi, musim penanaman, kategori benih dan jenis tanah serta kaedah pengurusan sawah. Lazimnya sesuatu jenis varieti padi hanya bertahan untuk beberapa tahun atau musim penaman sahaja dan jarang melebihi dari 10 - 15 tahun. Setiap jenis mempunyai potensi hasil yang berbeza, ketahanan terhadap serangan perosk dan penyakit serta jangkamasa kematangan yang berbeza. Keycheck ke lima adalah tahap Kerja-kerja Penyeian Tanah di peringkat awal. Kerja membajak, meratakan tanah dan melembutkan permukaan sawah penting untuk pemeridian yang sempurna. Permukaan tanah rata penting menentukan kadar percambahan biji benih dan faktur pengurusan air yang cekap terutama ketika Terbit Tangkai (Panicle initiation)

FAKTUR PENINGKATAN HASIL...PERLU DIJAGA...
ADA FAKTUR ASAS.... FAKTUR MENGURUS JUGA...
BENIH BERKUALITI.. PARAS TANAH PERLU RATA...
VARIETI DISYORKAN... BENIH SAH DI GUNA...

By
M Anem
Sawah Ring, Muar,
Johor, Malaysia.
(11 Ramadan 1433H) 

Monday, July 30, 2012

DURIAN VARIETI CHANEE (D123)

DURIAN (Durio zibethibus) merupakan sejenis pokok buah-buahan yang popular di negara kita selain daripda buah-buahan lain seperti Betik, Nangka, Pisang dan Rambutan. Terdapat lebih dari 200 varieti atau klon durian telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian di Malaysia dimana hanya sekitar 10 -12 varieti/ klon sahaja yang diminati oleh pengguna dan petani seperti Durian D24, Durian D123, Durian D197, Durian D99 dan sebagainya.  Antara Varieti Durian yang disukai adalah Varieti Chanee atau Klon D123 yang dimana varieti ini adalah diantara yang mempunyai kedudukan teratas di Malaysia. Terdapat seluas 101,960 hektar tanaman durian di negara kita pada tahun 2011 dengan jumlah penghasilan sebanyak 300,470 metrik tan. Keluasan keseluruhan tanaman buah-buahan di Malaysia adalah 278,493 hektar  (Laporan Jabatan Pertanian 2011). Tanaman durian adalah 34% daripada keseluruhan 26 jenis buah-buahan yang ditanam di Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam 'Anim agro Technology' mengenai pencirian Durian Varieti Chanee atau Klon Durian D123 untuk rujukan semua yang berminat mengenai tanaman durian,


Durian Varieti Chanee atau nombor daftarnya D123 dalam senarai 'Variety National Listing' oleh Jabatan Pertanian telah didaftarkan pada tahun 1971 (umur saya baru 13 tahun) oleh En Pertab Singh yang mana varieti ini berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Varieti ini mempunyai saiz buah yang Besar dengan anggaran berat antara 2.8 - 3.2 kilogram sebiji dengan bentuk buah yang bulat lonjong (Ovate). Pemerhatian saya di dusun durian kawasan Jementah dan Tangkak, Johor semasa bertugas di Johor dahulu menemui beberapa pokok durian varieti ini dan juga berpeluang merasa buah yang enak ini. Panjang buah sekitar 20 - 25 cm dengan lebar buah sekitar 18 - 22 cm dengan nisbah panjang buah kepada lebar dengan nilai 1.2:1.  Kalau dilihat foto diatas, didapati bahu buah dan hujung buah adalah berbentuk 'meruncing.' 


Susunan duri pada pangkal bahu buah atau dekat tangkai terdiri dari duri kasar yang bergabung dengan duri kecil (lihat foto sebelah) dengan warna duri hijau gangsa di pangkal dan tengah duri dan coklat perang dihujung duri. Susunan duri dibahagian hujung buah adalah duri-duri halus, pendek dan bergabung. Duri pada pangsa buah kelihatan nyata dengan bentuk duri kasar sederhana panjang. Duri pada pangsa buah juga kelihatan seakan bengkok kedalam dan bertaup.  Varieti ini mempunyai tangkai buah yang Panjang dengan kiraan sekitar 6 - 7 cm dan saiz garispusat tangkai yang kasar atau besar sekitar 1.8 - 2 cm ukurlilit. Durian Chanee merupakan durian berkualiti tinggi dimana ianya adalah antara durian kualiti ekspot di negara Thailand yang saya melawat pusat rawatan ekspot di Bangkok pada Mei 2012 bersama kumpulan KUAT Agrochallange 2012.


Isi dalam durian D123 berwarna kunig ke oren bergantung kepada lokasi penanaman dan pendebungaan yang berlaku diladang (Lihat foto sebelah). Isinya mempunyai saiz ulas yang besar dan rasanya manis serta mempunyai ketebalan isi yang sederhana. bagaimana pun pada saya ia juga boleh dikatakan mempunyai isi yang agak tebal. Semasa membuat ujirasa dengan D123 didapati ianya mempunyai rasa pahit sedikit dan rasa lemak yang sederhana sahaja.  Aroma isi buah ini sederhana sahaja dan tidak berapa kuat. Didapati tekstur isinya adalah sederhana iaitu tidak kasar dan tidak halus. Sementara itu tahap kepejalan isi dikategorikan sebagai Lembik. Buah varieti Chanee ini sederhana susah untuk di kopek dengan ketebalan kulit sekitar sederhana tebal sekitar 1 cm sahaja. Kadar berat isi dengan berat buah sekitar 0.256 sebagai perbandingan. Lazimnya mata kematangan varieti ini agak lama atau lewat berbanding dengan varieti lain yang di tanam di ladang.


Kajian dan pemerhatian di ladang durian di Kg Bekoh, Tangkak , Johor yang saya buat mendapati varieti chanee atau D123 ini mempunyai kebanyakannya 3 ulas dalam satu pangsa. Setiap ulas mempunyai kemungkinan biji penoh (80%). Biji separuh saiz (10%) dan tanpa biji atau Kesep (10%). Kalau makan satu biji seorang memang tidak boleh habis kerana isinya cukup banyak dan mengenyangkan. Bijinya adalah bersaiz besar dengan kulit biji berwarna coklat dan terdapat lapisan musilage pada bahagian embrio biji. Bijinya boleh di tanam untuk dijadikan pokok penanti dalam proses penyediaan anak benih cantum durian. Harga di pasaran varieti ini adalah sederhana tinggi dimana permintaan untuk varieti ini memang sangat menggalakkan. Kajian harga di Tangkak pada tahun 2010 mendapati harga bagi D123 antara RM 7.00 - RM 15.00 sekilogram kerana varieti ini gugur pada tahap penghujung musim durian.


DURIAN CHANEE... KLON D123 NAMANYA...
DAFTAR TAHUN 1971... DAH LAMA UMURNYA....
ISINYA MANIS.... 3 ULAS SEPANGSA DALAMNYA...
BOLEH DITANAM .... DIMANA KAWASANNYA....


By,
M Anem
Stesyen Pertanian Tangkak,
Tangkak, Ledang,
Johor, Malaysia.
(19 Ramadan 1433H)

Sunday, July 29, 2012

MODEL BARU EKONOMI (MEB)



MODEL EKONOMI BARU (MEB) merupakan satu pelan perancangan pembangunan kerajaan. Kali ini saya petik daripada website EPU untuk kita sama-sama belajar mengenai perkara yang ada kaitan dengan pelan tersebut untuk di baca dalam 'Anim Agro Technology' bagi pengetahuan bersama. Link website tersebut adalah  http://www.epu.gov.my/. Laporan ini merupakan bahagian akhir bagi laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mengenai Model Baru Ekonomi (MBE). Membina dari kerangka dasar keseluruhan yang ditetapkan dalam dokumen pertama, laporan ini memberikan butiran yang lebih luas mengenai langkah dasar yang tertakluk dalam 8 Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dalam Model Baru Ekonomi untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan. Langkah-langkah dasar ini dibangunkan hasil daripada beberapa siri mesyuarat dan rundingan antara MPEN dan pihak-pihak berkepentingan dari sektor perniagaan, kerajaan, pertubuhan buruh, pendidik dan lain-lain. Senarai langkah dasar ini bukanlah satu senarai lengkap yang meliputi setiap aspek. Ia memperlihatkan landasan penting langkah-langkah dasar yang mana MPEN percaya ia akan mendorong Malaysia ke arah matlamat menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan terangkum menjelang tahun 2020.

Sebagai sebuah badan penasihat bebas, MPEN telah mengemukakan set cadangan ini, yang mana apabila menerima pengendorsan, akan menjadi tugas Kerajaan untuk memulakan pelaksanaan langkah dasar yang serius dengan segera. Oleh itu, MPEN amat menyokong agar agensi dan unit-unit kerajaan yang berkaitan, yang bekerja rapat dengan sektor swasta dan lain-lain pihak berkepentingan, mesti mengambil sikap bertanggungjawab penuh dan mengambil peranan utama dalam merekabentuk rangka kerja pelaksanaan dan garis masa untuk memastikan butiran langkah dasar diterima pakai secara konsisten dan dengan penuh keteguhan. Dalam konteks ini, adalah berkemungkinan tinggi bahawa langkah-langkah tambahan dan pengubahsuaian ke atas langkah dasar yang diacadangkan dalam laporan ini akan diperlukan dan ia harus dilaksanakan selaras dengan objektif dasar dan prinsip-prinsip panduan MBE.

Lebih penting lagi, penerimaan segera langkah-langkah dasar ini disarankan kerana mereka merupakan landasan bagi kejayaan projek-projek dibawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dilancarkan oleh Kerajaan pada hujung Oktober 2010. Sementara menangani ketidakseimbangan makroekonomi jangka pendek yang berpunca dari krisis ekonomi global, pada masa yang sama, Malaysia perlu teguh dalam pelaksanaan yang berani mengenai langkah dasar IPS yang berjalin dalam MBE dibawah Program Transformasi Ekonomi.


Bab 1: 

Komponen-komponen Program transformasi Ekonomi (PtE) bermula dengan menetapkan konteks perubahan antarabangsa dimana Malaysia harus segera mengutamakan transformasi ekonomi. Menyedari bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh Malaysia adalah bersifat pelbagai dimensi, Kerajaan telah merangka satu pelan tindakan dengan inisiatif yang pelbagai. PTE merupakan inisiatif utama dalam pelan ini yang melibatkan dua komponen yang dilihat berlainan yang diwakili oleh IPS dan NKEA. IPS adalah usaha untuk menghapuskan halanganhalangan struktur kepada pertumbuhan dan mengenalpasti kelemahan kronik dalam ekonomi. Hanya apabila kekurangan ini dapat diatasi maka Malaysia boleh mara ke hadapan dengan NKEA untuk mencapai objektif yang terutama iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan,

Bab 2: 
Transformasi melalui Mendaya kembali Sektor Swasta mengenalpasti langkah-langkah dasar yang terdapat dibawah IPS1, IPS3, IPS7 dan IPS8, untuk mengaktifkan semula sektor swasta, menwujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing, dan meningkatkan sumber-sumber bagi pertumbuhan mampan. Dengan adanya sentimen keraguan yang agak tinggi oleh sektor swasta, yang digambarkan melalui kadar pelaburan domestik swasta yang rendah, satu pakej dasar yang menyeluruh yang melibatkan pengurangan kawal selia, liberalisasi dan pelaksanaan berkesan atas undang-undang persaingan, sejajar dengan piawaian antarabangsa, adalah
diperlukan.

Bab 3: 
Meningkatkan Inovasi seperti digambarkan dalam IPS6 yang memperlihatkan bagaimana inovasi boleh dihidupkan dengan semangat yang baru. Menyedari bahawa keusahawanan dan
inovasi tidak akan menjelma dengan begitu sahaja, MPEN membincangkan tentang peranan Kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar relevan dan bekerjasama dengan kesemua pihak yang berkepentingan untuk menjana persekitaran dan ekosistem yang lebih baik bagi inovasi.

Bab 4: 
Transformasi Sektor awam dinyatakan di dalam IPS4 dan mencadangkan satu pendekatan yang amat baru untuk menghidupkan semula, membentuk, membuang, dan menyusun semula struktur kerajaan dan prosedur pentadbiran yang sesuai dengan keperluan sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Hala tuju strategik Kerajaan perlu untuk mempertingkatkan interaksi bersama perniagaan dan rakyat dengan mencipta satu Kerajaan Tanpa Sempadan. Meningkatkan kualiti penjawat awam memerlukan satu perubahan drastik ke atas struktur dan saiz. Kewangan awam yang baik adalah penting bagi mengawal kestabilan makroekonomi dan meningkatkan prospek masa hadapan rakyat.

Bab 5: 
Memperhebatkan Pembangunan Sumber Manusia mendasari IPS2 yang menangani aduan umum tentang kekurangan bakat dan buruh mahir dan juga pasaran buruh yang gagal berfungsi dengan baik. Pendidikan dan program latihan kemahiran yang lebih baik merupakan prasyarat, sepertimana juga undang-undang buruh yang sesuai dan amalan dan sistem pengurusan sumber manusia. Bab ini juga menekankan kepentingan dalam meningkatkan jaringan keselamatan pekerja yang tertumpu kepada insurans pengangguran. MPEN menyokong satu sistem penetapan upah yang berhubung kait dengan produktiviti tetapi, dengan kegagalan mekanisme penetapan upah yang sedia ada, MPEN mengakui keperluan memperkenalkan satu dasar upah minimum bagi kepentingan keterangkuman.

Bab 6: 
Merapatkan Jurang ketaksamaan menetapkan langkah dasar di bawah IPS5 dan melihat kepada isu-isu utama berkaitan tindakan afirmatif dan program-program yang memfokuskan kepada isi rumah yang tergolongan dalam 40% terendah dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC). Program yang disarankan ini tertumpu kepada pembinaan kebolehan, dan perlu dikoordinasi oleh sebuah agensi yang menggunakan pangkalan data umum penerima-penerima faedah. MPEN juga percaya bahawa program khas yang disasarkan untuk sesetengah kumpulan di luar golongan 40% terendah, terutamanya PKS di dalam kategori BCIC,
perlu diteruskan tetapi haruslah dijadikan mesra pasaran, telus dan berdasarkan keperluan serta merit.

Bab 7: 
Pertimbangan Pelaksanaan melihat kepada strategi pelaksanaan bagi langkah dasar. Terdapat kesedaran yang tinggi akan perlunya ada koordinasi yang lebih terpusat serta proses pembuatan keputusan yang jelas dan bertanggungjawab di setiap peringkat pelaksanaan dasar. Seperti yang dicadangkan dalam RMK-10, PEMANDU akan dimandatkan sebagai agensi pusat untuk mengkoordinasikan rekabentuk dan penggubalan langkah dasar seterusnya ,memantau pelaksanaanya, dan menilai keberkesanan bagi tujuan mencadangkan mana-mana langkah pembaikan.

Bab 8: 
Daripada Visi kepada Hasil memberi kesimpulan dengan menekankan perlunya komitmen yang menyeluruh untuk berubah. Pelan tindakan bagi transformasi ekonomi Malaysia kini sudah lengkap dan terkandung didalam inisiatif-inisiatif yang ditetapkan dalam 1Malaysia, PTE, PTK dan RMK-10, dan telah digambarkan selanjutnya di dalam Bajet 2011 yang diumumkan barubaru ini. Dengan tujuan yang perlu disegerakan, tumpuan, tenaga dan usaha negara mestilah beralih dengan cepat kepada cabaran pelaksanaan.


Kalau kita sudah baca mengenai 8 perkara penting dalam Model Baru Ekonomi setidak-tidaknya kita dah dapat memahami apa yang terkandung didalamnya. Mungkin kita sebagai rakyat biasa perlu tahu akan pelan pembangunan dan perancangan yang di rancang oleh pemikir-pemikir dalam kerajaan. Dalam sektor pertanian, kita mempunyai Dasar Agro Makanan yang telah di lancarkan oleh Perdana Menteri pada Januari 2012. Adakah anda sudah tahu akan isi kandungan didalam Dasar Agro Makanan?.

MODEL BARU EKONOMI....MEB RINGKASNYA...
ADA 8 BAB SAHAJA...KENA BACA SEMUANYA...
KALAU TIDAK FAHAM... KENA BERTANYA....
TAK FAHAM LAGI...... PROBLEM JAWAPANNYA....

By,
M Anem
Presint , Putrajaya,
Malaysia
(9 Ramadan 1433 - 4.15 pagi)

Saturday, July 28, 2012

DURIAN D2 (DATO NINA)

DURIAN VARIETI DATOK NINA (D2) merupakan salah satu varieti durian (Durio zibethinus) yang paling awal didaftarkan dan sederhana popular. Varieti ini telah didaftarkan kepada 'Variety National Listing' Jabatan Pertanian pada tahun 1934 oleh pendaftar yang tidak dinamakan. Varieti ini berasal dari Negeri Melaka dan mempunyai ciri-ciri baik untuk di tanam sebagai salah satu varieti pilihan pada peringkat awal untuk pengkomersialan tanaman durian. Semasa bertugas di Melaka selama 14 tahun, saya beberapa kali melawat kebun asal varieti Datok Nina di Kawasan Air Molek dan sekitar Alor Gajah serta dapat membeli dan makan buahnya yang berwarna kuning oren dan memang sedap. Varieti ini ada di tanam di Pusat Pertanian Sungai Udang, Melaka tetapi kadar peratus kejadian buah agak rendah kalau di tanam secara monokrop. Sebaiknya penanaman durian melibatkan beberapa jenis varieti dalam satu kebun untuk mendapatkan 'cross pollination' bagi meningkatkan peratus pembentukan putik bunga dan buah. Bunga durian lazimnya berlaku proses pendebungaan pada waktu malam hari secara semulajadi dengan bantuan agen pendebunga. Artikel subuh 2 ramadan ini saya menulis mengenai durian Varieti Datok Nina atau Nombor Daftar D2 selepas bersahur untuk bacaan anda semua.


Buah Durian varieti Datok Nina (D2) bersaiz sederhana besar dengan anggaran berat sekitar 1.5 - 2.2 kg sebiji. Bentuk buah adalah bulat lonjong (Ovate) dengan panjang buah sekitar 22 - 25 cm dan lebar 14 - 16 cm dimana kadar panjang buah dengan lebar pada nilai 1.5:1. Saya juga dapati buah varieti ini mempunyai bentuk pangkal buah 'ada bahu' dan bentuk hujung buah yang 'agak meruncing'. Dilihat dari segi bentuk duri didapati susunan duri pada bahagian pangkal buah adalah duri halus yang bergabung pada tapak kecil. Warna duri adalah hijau dimana bentuk duri pada pangsa buah adalah bersaiz sederhana dan pendek sahaja. Bentuk pangsa buah kelihatan mempunyai kob dengan jelas kelihatan agak jelas membezakan ada pangsa isi didalamnya. Duri-duri diantara pangsa buah agak besar kelihatan dan duri pada kulit pangsa buah bersaiz kecil yang bertaup pada pangkalnya dan terdapat duri halus diantaranya. Umumnya warna hujung duri adalah perang dan dibahagian tengah serta hujung duri berwarna hijau gangsa.


Kalau di lihat tangkai buah durian Datok Nina pada tangkainya seakan dilihat sebagai tangkai buah yang kuat dan kukuh. Panjang tangkai sekitar 3.5 - 4.0 cm dengan saiz tangkai agak sederhana besar 1.5 - 1.8 cm ukurlilit yang berwarna coklat. Varieti ini merupakan satu varieti yang susah untuk di buka terutama kalau buat D2 baru lepas gugur. Pengalaman saya pertama kali mencuba membuka buah ini di PLP Sg Udang, Melaka dulu memerlukan masa lebih 30 minit untuk membuka pangsanya menggunakan parang pendek. Kulitnya yang agak tebal sekitar 0.8 - 1.1 cm dan agak susah hendak membukanya bagaimana pun berbaloi apabila dapat makan isinya yang cukup lazat. Kepada mereka yang memang belum pernah makan durian varieti Datuk Nina atau D2 ini perlu mencarinya di kawasan yang ada menanamnya. Bilangan buah sering tidak banyak pada pokok muda yang baru belajar berbuah kerana peratus bunga menjadi buah adalah rendah.


Apabila buah yang masak di buka, akan kelihatan isinya yang berwarna OREN dan rasanya ...... wow! memang sangat manis. Isinya memang berbeza sekali kerana ia dari jenis yang isinya sangat tebal dan kalau makan satu ulas sahaja pun saya rasa sangat memuaskan dan amat mengenyangkan. Ketika saya membuat ujirasa varieti D2 ini memang ada sedikit rasa pahit dan rasa lemaknya juga agak sederhana. Varieti ini mempunyai tekstur buah yang halus dan memang berbaloi membelinya. DIlihat dari segi kepejalan isi, varieti Datok Nina dalam kategori buah 'isi lembik'. Paling bagus mengenai varieti ini adalah ia mempunyai aroma atau bau yang kuat dan memang kalau dan makan dan kita sendawa.... member sebelah yang tidak makan durian memang sakit hati dibuatnya. Bilangan ulas dalam satu pangsa cuma dua (2) sahaja , itu pun saiznya memang besar dan panjang. Pengalaman saya mendapati makan buah durian D2 ini menyeronokkan dan sangat berpuashati...masaalahnya varieti ini memang agak sukar didapati.


Keistimewaan buah durian varieti Datok Nina (D2) adalah kerana buah ini mempunyai isi yang banyak tidak ada biji atau KESEP iaitu sebanyak hampir 60% daripadanya isinya. Sekitar 40% pula isi buah mempunyai biji yang terbentuk penoh (lihat foto sebelah) dimana  memang sah makan satu ulas D2 sangat berbaloi. apa lagi kalau makan dua ulas buah yang kesep, saya katakan memang sangat kenyang. Kajian saya juga mendapati hampir tidak ada biji yang terbentuk separuh. Saiz biji yang terbentuk adalah sederhana besar dengan mempunyai kulit luar berwarna coklat dan ada sedikit musilage dibahagian embryo biji. Buah durian daripada pokok yang telah berumur lagi banyak buah yang mempunyai biji kesep. Kajian pemasaran harga durian varieti Datok Nina (D2) diantara RM 10.00 - RM 25.00 sekilogram itu pun kalau ada di pasaran. Ramai peminat durian tidak dapat bekalan varieti ini kerana agak kurang ditanam masa ini dan bilangan buah yang dihasilkan juga sedikit. Kepada mereka yang ingin mencari anakbenih varieti Datok Nina boleh mendapatkanya dari pembekal yang telah menerima sijil akreditasi dibawah Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian untuk mendapatkan jaminan kualiti. Wasallam.


DURIAN DATOK NINA... D2 NAMANYA....
BUAHNYA BESAR...LIAT MEMBUKANYA....
ISINYA SANGAT TEBAL...MANIS RASANYA...
MAKAS SATU ULAS... KENYANG PASTINYA...


By,
M Anem
Air Molek, Melaka,
Malaysia.
(8 Ramadan 1433H)

Friday, July 27, 2012

PERTANIAN PERSIS

PERTANIAN PERSIS (Precision Farming) merupakan satu kaedah pertanian atau konsep pertanian moden yang mana petani boleh mengawal semua faktur-faktur pengeluaran ladang dengan tepat dan sistematik. Saya pertama kali mendngar pertanian persis atau dalam bahasa mudahnya sebagai PERTANIAN TEPAT smasa mengunjungi pameran pertanian di PWTC Kuala Lumpur kira-kira10 tahun dulu. Apa yang difahamkan pertanian persis adalah kemampuan petani adtau usahawantani melakukan aktiviti pengeluaran dengan Cara dan Teknologi yang betul, pada Tempat yang Betul, pada Masa yang Betul dan menggunakan kaedah cara pengamalan yang betul. Sebagai contoh, cara membaja mesti menggunakan jenis baja yang betul, kuantiti penggunaan baja yang betul, masa pembajaan yang betul, meletakkan baja di lokasi yang betul dan mengikut arahan pada label baja. Kenapa perlukan konsep pertanian persis?.... Secara teorinya kaedah pertanian persis akan memberikan tanaman, ternakan atau akuakultur dapat menghasilkan produk yang berkualiti dengan penghasilan yang tinggi serta menguntungkan. Telah banyak kajian dan kertas mengenai pertanian persis ini dibuat diseluruh dunia terutama untuk tanaman bijirin (Padi, Gandum, Jagung , Barli) dan tanaman makanan jenis yang lain bagi mempastikan kecukupan makanan dunia. Artikel petang ini saya menulis mengenai pertanian persis berdasarkan kepada pemerhatian, pembacaan dan rujukan daripada beberapa buah buku serta laman sesawang.


Teknologi Pertanian Persis pada masa ini lebih moden dengan penggunaan Sistem  Geographical Information System (GIS). Negara-negara maju telah lama mengamalkan pertanian tepat ini dengan menggunakan gabungan teknologi satelit dari Global Positioning System (GPS) dan data jarak jauh (Remote Sensing Data - RSD) dalam menjalankan kerja-kerja di ladang yang menggunakan kaedah teknologi pertanian persis. Mereka dapat melaksanakan tugas dengan sistem komputer yang dipasang dalam bangunan dan dengan maklumat yang di tunjukkan pada skrin, maka aktiviti perladangan pertanian dapat dijalankan oleh jentera atau sistem yang dipasang di ladang. Pengalaman saya melawat projek Pertanian Persis adalah di Ladang Dina Farm, Mesir pada tahun 2006. Ini merupakan satu projek pemulihan tanah gurun yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis produk makanan seperti buah anggur, pisang, citrus, kentang, jagung dan ternakan lembu susu menggunakan teknologi moden. Sebagai contoh, sistem pengairan yang dikawal oleh komputer akan di sampung terus kepada alat pengesan di ladang yang memberi isyarat kepada sistem bahawa air telah di perlukan oleh tumbuh-tumbuhan. Secara automatik saya lihat satu roda yang membuat sistem penyiraman akan mengepam air dari dalam bumi dan dimasukkan dalam tangki kemudian dipam untuk siraman yang bergerak ikut pusingan jam membekalkan air pada pokok kentang (Foto bawah). Kelajuan dan kadar air akan ditentukan oleh komputer. Bagi kawasan tanaman yang perlu banyak air, maka roda akan bergerak perlahan berbanding dengan tanaman yang telah cukup air kuantiti siraman akan dikurangkan. Projek  yang saya lawati iaitu pemulihan lembah tanah gurun ini mampu membekalkan produk makanan sehingga 20% daripada keperluan negara Mesir.


Walau pun kos awal untuk Pertanian Persis agak tinggi tetapi ianya berbaloi kalau dikira dalam jangkamasa panjang. Paling asas dalam pertanian persis terutama bagi tanaman makanan adalah paras tanah yang rata dan kesuburan tanah yang seragam. Lazimnya dalam satu kawasan penanaan yang luas, terdapat banyak jenis siri tanah dan tahap kesuburanan tanah (soil fertility) yang sangat berbeza-beza. Tanah ini perlu di ratakan (jika boleh - terutama untuk tanaman padi) bagi mengawal ketinggian paras air dalam sawah. Tanah yang kurang subur ditandakan dalam sistem dan di berikan lebih 'treatment' lebih untuk mempastikan pokok subur. Perlu disediakan maklumat pemetaan asas kesuburan tanah secara terperinci dan dimasukkan dalam sistem komputer. Selain daripada Tanah, penggunaan bahan tanaman berkualiti atau biji benih juga mempengaruhi hasil dalam pertanian tepat. Pastikan memilih benih yang berkualiti dan telah disahkan berprestasi tinggi. Segala amalan ladang seperti membaja, kawalan rumpai, kawalan perosak dan penyakit, pengairan, aktiviti menuai hasil dan menui hasil perlu di jalankan mengikut keperluan standard. 


PERTANIAN PERSIS.... HEBAT BUNYINYA...   
TEKNOLOGI TINGGI ...MAHAL HARGANYA....
KEPAKARAN KHUSUS... MEMANG DIPERLUKANNYA....
TEKNOLOGI AKAN DATANG ....APA PULAKNYA?.....


By,
M Anem
Putrajaya, 
Malaysua
(26 Julai 2012) 

Thursday, July 26, 2012

SERANGGA PEROSAK KOKO 2


KOKO (Theobroma cacao) merupakan sejenis tanaman yang masih di tanam di Malaysia terutama di Sabah dan Pahang serta Perak dan Johor. Keluasan tanaman koko di negara kita telah berkurang daripada 420,300 hektar pada tahun 1990 kepada hanya seluas 20,554 hektar pada tahun 2011. Kebanyakan kawasan tanaman koko sama ada oleh sektor estet atau pekebun kecil telah bertukar kepada tanaman industri yang lain terutama kepada tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis). Pengeluaran buah koko dan biji koko telah jauh berkurang akibat perubahan kepentingan tanaman tersebut didalam sektor pertanian negara kita. Peranan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membangunkan semula tanaman koko menghadapi banyak cabaran terutama untuk mengembalikan kepercayaan petani dengan masaalah serangan Ulat Pengorek Buah Koko (UPBK) yang telah pun memusnahkan industri ini. Artikel petang sabtu ini saya menulis beberapa jenis serangga yang menyerang tanaman koko dalam 'Anim Agro Technology' bagi bacaan anda semua.


Serangga Perosak koko seterusnya adalah Kepinding Nyamok (Helopeltis theobromae Miller). Kepinding nyamok dewasa mempunyai ukuran 6.0 - 7.1 mm panjang dan akan menyerang buah koko dengan menghisap cairan pada putik nuah koko. Tanda atau simptom serangan dimana terdapat bintik-bintik hijau basah pada buah koko yang kemudian menjadi tompok2 warna hitam yang keras dan bentuknya menimbul. Akibatnya pertumbuhan buah akan terbantut dan putik buah yang diserang akan layu seperti hangus dan mati. Pemerhatian saya di Melaka dulu mendapati berlaku juga serangan pada bahagian pucuk masi muda terutama ketika masa kekurangan buah pada pokok. Akibatnya pucuk yang diserang akan layu dan akhirnya akan mati.


Kawalan dengan amalan agronomi ladang iaitu sentiasa membuat cantasan agar kanopi pokok tidak lembab atau tidak gelap. Kaedah biologi dalam IPM untuk mengawal serangga ini adalah dengan memelihara sejenis Semut Hitam (Dolichoderus thoracicus) yang memakan nyamuk atau kepiding ini. Sediakan sarang untuk semut ini pada dahan koko dari daun-daun kering koko atau sebarang daun dan ambil koloni semut ini untuk tinggal didalamnya. Kawalan dengan racun serangga seperti deltamethrin, cypermetgrin atau dimethoate yang disembur pada waktu lewat petang untuk mmbunuh nimfa dan serangga dewasa yang mulai aktif pada waktu malam.


Serangga ketiga yang menyerang koko adalah Kumbang Koboi (Apogonia spp atau Adoretus sp) yang menyerang bahagian daun muda koko. Kumbang dewasa mempunyai ukuran 9 - 11 cm panjang berwarna hitam gelap (Apogonia) sementara warna coklat (Adoretus). Kumbang ini makan daun muda pokok koko terutama yang baru ditanam pada malam hari. Semasa membuat pemantauan penanaman koko dulu memang kumbang ini menjadi masaalah di kebun. Kawalan anakbenih semaian dalam tapak semaian dengan memasang jaring pelindung tanaman dan anak pokok diladang boleh di pasang pelepaah kelapa atau plastik dikeliling pokok sebagai pelindung. Semburan dengan racun kimia seperti cypermethrin boleh dijalankan jika kawalan secara amalan agronomi kurang berkesan atau pada tahap serangan serius.


KUMBANG KOBOI... MAKAN DAUNNYA....
MENYERANG MALAM... PAGI NAMPAK ROSAKNYA...
NYAMUK HELOPELTIS.... HANGUSN PUTIKNYA....
BUAT KAWALAN .. TINGKATKAN HASILNYA...


By,
M Anem
Merlimau, Melaka,
Malaysia.
(8 Ramadan 1433H)

Wednesday, July 25, 2012

SERANGGA PEROSAK KOKO 1

KOKO (Theobroma cacao) merupakan sejenis tanaman yang masih di tanam di Malaysia terutama di Sabah dan Pahang serta Perak dan Johor. Keluasan tanaman koko di negara kita telah berkurang daripada 420,300 hektar pada tahun 1990 kepada hanya 20,544 hektar pada tahun 2011 seperti Laporan Tahunan Lembaga Koko Malaysia (LKM). Kebanyakan kawasan tanaman koko sama ada oleh sektor estet atau pekebun kecil telah bertukar kepada tanaman industri yang lain terutama kepada tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis). Pengeluaran buah koko dan biji koko telah jauh berkurang akibat perubahan kepentingan tanaman tersebut didalam sektor pertanian negara kita. Peranan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membangunkan semula tanaman koko menghadapi banyak cabaran terutama untuk mengembalikan kepercayaan petani dengan masaalah serangan Ulat Pengorek Buah Koko (UPBK) yang telah pun memusnahkan industri ini. Artikel petang sabtu ini saya menulis beberapa jenis serangga yang menyerang tanaman koko dalam 'Anim Agro Technology' bagi bacaan anda semua.

Terdapat 3 jenis serangga yang merosakkan tanaman koko di Malaysia iaitu Ulat Pengorek Buah Koko, Kepiding Nyamok dan Kumbang Koboi. Serangga yang paling di takuti adalah Ulat Pengorek Buah Koko (UPBK) yang nama saintifiknya Conopormorpa cramella (Snell). Kupu-kupu dewasa berukuran  8 mm panjang dan 12 mm lebar (Lihat foto sebelah). Kupu-kupu ini berwarna coklat kehitaman seakan-akan warna kulit pokok koko.Serangga ini yang saya dapat lihat di pokok lazimnya aktif pada waktu malam untuk terbang dan bertelur pada kulit buah koko. Telur yang menetas akan menjadi larva dimana kemudian akan masuk didalam buah diantara biji koko. Simptom serangan dimana terdapat najis warna keperangan didalam buah apabila dibelah. Serangan yang teruk menyebabkan biji koko melekat , tidak boleh dikeluarkan dari pod dan susah untuk dileraikan. Pertumbuhan biji koko pada buah yang diserang akan terbantut dan rosak. Larva yang keluar akan membentuk pupa dan membuat lubang kecil yang kelihatan pada permukaan buah. Akibatnya buah akan masak awal dengan tompok-tompok kuning pada kulitnya.

Kawalan ulat ini perlu dijalankan dengan sistematik melalui program bancian yang kerap untuk mengetahui status serangan. Pengutipan buah koko perlu dijalankan dengan kekerapan 10 - 14 hari untuk memutusan kitaran hidup UPBK. Jalankan cantasan dahan dan pokok agar ketinggian pokok tidak melebihi 4 meter atau tidak terlalu rimbun. Pokok yang mempunyai kanopi padat dan gelap menggalakkan lagi pembiakan kupu-kupu UPBK. Ketika selepas membelah buah, pastikan kulit buah di masukkan kedalam plastik dan diikat agar segara larva dan telur UPBK mati untuk kitaran hidup 14 hari.  Semburan dengan racun serangga boleh dijalankan sekiranya tahap serangan mencapai 10 - 15% semasa pemantauan di buat. Racun serangga jenis Cypermethrin atau Deltamethrin boleh digunakan bagi membunuh kupu-kupu dewasa. semburan hendaklah dihalakan di bahagian bawah dahan pokok sehingga cukup basah mengikut kadar pada label.
BERSAMBUNG PART 2....

ULAT PENGOREK KOKO (UPBK)... BAHAYANYA....
BERTELUR PADA BUAH...KELUAR LARVANYA....
BIJI KOKO MELEKAT ... SUSAH KELUARKANNYA....
PERLU DI KAWAL.... PANTAU KEHADIRANNYA....

By,
M Anem
Raub, Pahang,
Malaysia.
(6 Ramadan 1433H)

Tuesday, July 24, 2012

ANATOMI TUMBUHAN

ANATOMI TUMBUHAN (Plant anatomy) adalah satu sains botani mengenai istilah yang di gunakan bagi menjelaskan secara terperinci mengenai bahagian-bahagian didalam dan di luar pada tumbuh-tumbuhan. Ianya berkaitan dengan keterangan MARFOLOGI tumbuh-tumbuhan yang membentuk pokok yang tumbuh dengan menjalankan proses fotosintesis dan membiak. Kajian mengenai anatomi tumbuh-tumbuhan dimulakan semanjak abad ke 20 lagi dengan menggunakan alatan khusus seperti mikroskop dan sebagainya. Anatomi tumbuhan dikaitkan dengan Marfologi tumbuhan dan juga Fisiol;ogi tumbuhan. Klasfikasi anatomi tumbuhan boleh di bahagikan kepada beberapa bahagian iaitu ANATOMI BUNGA (Flower anatomy) , ANATOMI DAUN (Leaf anatomy), ANATOMI BUAH (Fruit anatomy), ANATOMI BIJI (Seed anatomy), ANATOMI BATANG (Stem anatomy), ANATOMI AKAR (Root anatomy) dan ANATOMI KAYU (wood anatomy). Kesemua maklumat ini akan di bincangkan secara ringkas dalam 'Anim Agro Technology' sekadar memberikan sedikit maklumat kepada pembaca semua.


ANATOMI BUNGA  merupakan bahagian reproduktif tumbuh-tumbuhan yang penting untuk di ketahui. Terdapat beberapa kategoori dalam anatomi bunga iaitu KALIKS (Calyx), KELOPAK (Corolla), ANDROECIUM dan GYNOCEUM. Kaliks adalah struktur yang melindungi bunga semasa peringkat kudup  dan sering berwarna hijau. Apabila bunga mekar kaliks ini akan berada dibahagian bawah kelopak bunga. KELOPAK pula adalah gabungan beberapa kelopak (sepal) bunga yang akan membentuk sebagai Kuntum Bunga. Bunga mempunyai organ pembiakan lain seperti Stigma, Ovari, Filamen, debunga dan juga tangkai bunga. Bergantung kepada jenis tumbuhan dan spesis, warna bunga ada yang terang, kuat, lembut atau lain-lain bentuk marfologi untuk menarik agen pembiakan datang menghampirinya. Terdapat juga bunga yang menghasilkan manisan Nektar, bau-bauan, debunga dan sebagainya.


ANATOMI DAUN tumbuhan terdiri daripada lapisan Epidermis atau Kutikel Daun ( Cutilce epidermis layer), Mesofill (Mesophyll), Phloem, Xylem, Stomata, Trichome dan rongga. Peranan daun pada tumbuhan adalah untuk menjalankan proses fotosintesis dengan mengambil nutrien dan air serta oksijan untuk dijadikan Tenaga, Karbon dioksida dan bahan lain. Kebanyakan daun mempunyai stomata yang juga berfungsi penting dalam proses fotosintesis. Warna daun yang hijau menunjukkan banyaknya klorofill pada daun yang membantu proses fotosintesis. ANATOMI BATANG terdiri daripada struktur yang ujud dalam batang tumbuhan terdiri 3 jenis tisu iaitu TISU LUAR (Dermal tissue), TISU DALAM (Ground tissue) dan TISU BENDALIR (Vascular tissue). Kesemua tisu-tisu ini terbentuk dengan fungsi tersendiri dan berbeza antara tumbuhan dikot dan tumbuhan monokot (Lihat foto sebelah). Struktur marfologi batang penting menentukan ketinggian pokok, kaedah percabangan, kedudukan daun dan buah pada tumbuhan. 


ANATOMI BUAH (Fruit Anatomy) terdiri daripada bahagian KULIT (Skin), ISI (Pericarp) dan BIJI (Seed). Buah adalah bahagian penting yang juga merupakan organ pembiakan kepada tumbuh-tumbuhan. Lazimnya kulit buah adalah lapisan epidermis paling luar yang melindungi iai buah. Bahagian isi atau perikap terdiri daripada Endocarp. Mesocarp dan Exocarp. ANATOMI BIJI pula berkaitan dengan biji yang dihasilkan oleh tumbuhan iaitu ada 3 bahagian dipanggil sebagai ENDOSPERM, EMBRYO dan SEED COAT (Kulit biji). Kebanyakan biji terletak pada bahagian dalam buah-buahan kecuali beberapa jenis buah seperti buah gajus.


ANATOMI AKAR (Root anatomi) merupakan bahagian paling bawah bagi tumbuhan dari permukaan tanah hingga kedalam tanah (Lihat foto sebelah). Akar tumbuhan mempunyai lapisan Luar EPIDERMIS, KORTEKS (Cortex), PHLOEM dan XYLEM. BAhagian paling aktif hujung akar dikenali sebagai MERISTEM dimana terdapat pelapik hujung (caps). Fungsi utama akar adalah untuk menyerap air dan unsur makanan dari dalam tanah untuk dihantar kepada bahagian daun bagi proses fotosintesis. Terdapat beberapa jenis akar yang berfungsi mengikut kategorinya seperti Akar Tunjang, Akar Rambut, Akar Udara dan sebagainya.  Kekukuhan pokok bergantung kepada struktur akar tunjang untuk menyokong batang, dahan dan daun yang berada diatasnya. 


ANATOMI KAYU (Wood anatomy) pula berkaitan dengan bahagian penting pada kayu tumbuhan yang terdiri daripada Bahagian KULIT (Bark atau Cork) dan Bahagian EMPULUR (Heartwood and Sapwood). Bahagian kulit kayu mempunyai beberapa lapisan yang terbentuk untuk melindungi batang tumbuhan. Lazimnya kedudukan kulit yang masih aktif mempunyai sel vaskular seperti Phloem dan Xylem untuk menyalurkan air dan nutrien dari bahagian akar kepada daun dan sebaliknya. Bahagian Kayu terdiri dari sel-sel keras yang mana dibahagian tengahnya ada empulur batang kayu (bagi sesetengah spesis kayu keras). Bagi anatomi kayu yang dijadikan sebagai kayu balak untuk kegunaan perumahan, industri dan sebagainya ianya matang dalam tempoh sangat lama. Begitulah coretan mengenai anatomi tumbuhan yang di petik daripada beberapa laman web seperti wikepwdia, buku teks dan pengalaman penulis sendiri. Wasallam!


ANATOMI TUMBUHAN... SUSAH INGATNYA....
DARI PUCUK.... BAHAGIAN DAUN MULANYA...
BUAH DAN BIJI...PENTING PERANANNYA..
BATANG DAN AKAR... ADA FUNGSINYA...


By,
M Anem
Wetlands Area, 
Putrajaya,
Malaysia.
(5 Ramadan 1433H)

Monday, July 23, 2012

BENIH PISANG

BENIH PISANG (Musa spp) di perolehi daripada pelbagai sumber untuk aktiviti penanaman pisang diladang. Benih pisang boleh di perolehi daripada Anak Benih Sulur yang dihasilkan oleh pokok induk yang matang dan kini paling popular adalah anak benih dari Kultur Tisu (Tissue culture). Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan anakbenih pisang dari varieti komersial di negara kita seperti Pisang Mas, Pisang Berangan, Pisang Rastali, Pisang Cavendish, Pisang Nipah, Pisang Tanduk, Pisang Lang dan sebagainya. Bekalan untuk anakbenih pisang dari kultur tisu amat mudah di perolehi dari pembekal-pembekal tempatan dengan harga diantara RM 1.00 - RM 2.00 sepokok dimana harga ditentukan bergantung kepada varieti, saiz pokok dan jarak penghantaran. Pengalaman saya membeli benih pisang kultur tisu dari pembekal tempatan amat membanggakan kerana kita akan dapat anak pisang yang terjamin keseragamannya, bebas penyakit, mudah di bawa, varieti terjamin dan harga yang berpatutan. Banyak syarikat-syarikat tempatan mampu membekalkan anakbenih pisang kultur tisu diseluroh negara dengan jaminan harga dan kualiti. Artikel kali ini saya membincangkan standard anakbenih pisang yang sesuai di beli untuk ditanam dari jenis anakbenih sulur dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukkan anda semua.


Sulur Anak Pisang ada berbagai saiz dan juga nama. Ada jenis Sulur Anak, Sulur Air, Sulur Pedang dan sebagainya. Kajian dan pembacaan dari beberapa standard luar negara seperti di India dan Thailand mendapati, mereka mengalakkan SULUR PEDANG sebagai bahan tanaman berasaskan sulur (Lihat foto kiri). Sulur Pedang adalah sulur yang keluar dari pangkal rumpun rizom pokok pisang dengan saiz rizom pangkal besar (berbonggol - conical shape) dan mempunyai saiz lai daun yang kecil dan tirus. Berbeza dengan sulur air yang mempunyai rizom berbentuk selinder lurus kecil (cylindrical shape) dengan bentuk daun yang lebar (Lihat foto atas sekali). Sulur Pedang lebih disyorkan untuk dijadikan bahan tanaman kerana ianya lebih cepat membesar, peratus kejayaan yang tinggi, cepat pengakaran dan memberikan pangkal pokok yang kuat dan kukuh dalam tanah. 


Pemilihan sulur pedang untuk dijadikan anakbenih sebaiknya dari pokok induk yang telah berbuah dan umur sulur tersebut lebih dari 3 bulan. Pada masa pungutan, adalah perlu dipastikan berat sulur tidak kurang dari 1 kilogram beratnya. Saiz ukurlilit sulur paling sesuai sekitar 20 cm lilitan. Jika ringan sangat bermakna sulur tersebut tidak padu isinya atau tidak sihat. Mula-mula tandakan sulur yang sesuai untuk di kutip dimana memenuhi ciri-ciri seperti saiz sederhana besar, ketinggian sesuai, mempunyai akar dibahagian pangkal dan dari varieti yang dikehendakki. Sebaiknya sulur diambil dari pokok induk yang tumbuh pada peringkat berbunga dan peringkat berbuah. Ini akan menjadikan kualiti sulur tersebut elok untuk di kutip dengan kepastian ianya akan berbuah seperti pokok induk. Sulur yang akan diambil sama ada untuk ditanam terus di ladang atau dihantar ke makmal untuk dijadikan bahan asas kultur tisu, perlulah ditandakan maklumat asas anakbenih tersebu. Antara maklumat yang perlu ditulis seperti maklumat asal usul benih, nama varieti, sumber asal benih, tarikh di kutip dan sebagainya seperti keperluan standard pengeluaran benih pisang. Pemerhatian selama 30 tahun dalam pertanian mendapati anak benih sulur yang baik tidak akan mengeluarkan daun lebar kecuali selepas mencapai ketinggian batang melebihi 1 meter. 


Penanaman pisang menggunakan benih sulur pedang perlu di rawat dahulu dengan racun serangga, racun kulat dan sebagainya (Racun nematod). Hanya anak benih yang telah disahkan sihat, tidak berpenyakit dan bebas dari cacing nematod sesuai untuk ditanam. Pada masa ini negara kita telah pun menghadapi masaalah serangan Penyakit Moko Pisang yang disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai Ralstonia solanacerum. Penyakit Layu bakteria ini menyebabkan industri pisang di negara kita terjejas teruk dimana belum ada kaedah kawalan yang berkesan dan cepat untuk menghapuskannya. Penanaman pisang dengan sulur mempercepatkan lagi merebaknya penyakit ini dan memang anak benih sulur pisang yang telah terkena serangan penyakit ini TIDAK BOLEH digunakan sebagai bahan tanaman. Pastikan anda bertanya dengan Pegawai Pertanian untuk mendapatkan khidmat nasehat mengenai penyakit ini dan bagaimana untuk mendapatkan anakbenih pisang yang sesuai untuk ditanam. Wasallam!


ANAKBENIH PISANG .... SULUR PUNCANYA...
DI TANAM TERUS... JIKA ADA KESESUAINNYA...
DIHANTAR KE MAKMAL .... BENIH TISU JADINYA...
ELAKKAN PENYAKIT... LAYU BAKTERIA NAMANYA....


By,
M Anem
MARDI Station (Seed Unit)
MARDI, Serdang, 
Selangor , Malaysia.
(3 Ramadan 1433H).

Sunday, July 22, 2012

SION CANTUMAN BERKUALITI

SION (Scion) atau MATA TUNAS dalam proses mencantum pokok buah-buahan merupakan satu perkara penting dalam aktiviti mencantum anak pokok varieti buah-buahan atau tanaman lain terpilih termasuk ornamental, sayuran dan tanaman singkatmasa. Sering kita mendapatkan anakbenih pokok buah-buahan seperti Durian (Durio zibethinus), Rambutan (Nephellium lappaceum), Belimbing (Avverhoa carambola) ,Nangka (Artocarpus integer), Cempedak (Artocarpus cempeden) dan sebagainya dari kategori anakbenih cantum. Anak pokok cantuman dari varieti terpilih akan mempastikan kita mendapat baka tulin dan 'true-to-type' apabila sion yang digunakan diambil dari baka induk yang telah disahkan. Sion atau mata tunas diambil menggunakan peralatan kas dan teknik khusus untuk dicantum kepada pokok penanti yang sesuai. Kenapa sering berlaku aktiviti mencantum dan ianya gagal atau memberikan peratus kejayaan yang rendah?... Kedua-dua sion dan pokok penanti yang tidak bercantum mungkin disebabkan oleh faktur ketidakserasian (incompatibility) antara kedua-duanya, kurang kadar lapisan kulit kambium yang melekat, kekeringan yang berlaku atau kemasukan air kedalam balutan cantuman. Sebab-sebab lain mungkin berpunca dari anak pokok penanti kering akibat kemarau atau tidak disiram, sion yang kering sebelum di cantum dan keadaan pokok penanti yang rosak. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis berkaitan sion yang berkualiti untuk aktiviti mencamtum dalam 'Anim Agro Technology' bagi bacaan anda.


Sion atau mata tunas untuk cantuman adalah bahagian yang diambil dari dahan atau pucuk yang lembut dengan mempunyai tunas untuk dicantum. Sion lazimnya diambil dari pokok induk yang telah dikenalpasti akan varietinya, subur, sihat , berhampiran dengan pokok penanti dan mudah untuk mendapatkan bekalannya. Pengambilan sion dari pokok induk lazim dijalankan pada waktu pagi untuk mendapatkan sion yang segar bagi dicantum. Dahan atau ranting sepanjang 1 meter (bergantung kepada jenis dan varieti tanaman) akan di potong dengan terdapat mata tunas pada dahan tersebut. Sebaiknya pisau tajam, parang, scateurs atau 'pruning saw' yang tajam digunakan untuk memotong dahan atau ranting. Saya sering syorkan agar keratan ini di balut dengan kertas suratkhabar dilembabkan dengan air bertujuan untuk megekalkan kesegarannya atau untuk dibawa kelokasi yang agak berjauhan.  Sion akan di potong dengan 'budding knife' semasa aktiviti mencantum. Elakkan memotong dulu sion jika pokok penanti belum bersedia untuk dicantum. Sebaiknya sion di cantum pada pokok penanti setiap kali membuat cantuman.


Bagaimana hendak memilih sion yang berkualiti?. Saya akan memberikan tip-tip penting dalam cara memilih sion atau matatunas berkualiti :-


a. Sion mesti diambil dari pokok induk yang seragam, varieti telah disyorkan dan memberikan kualiti hasil yang tinggi serta berkualiti
b. Sion diambil dari pokok induk yang sihat, tidak diserang bakteria, virus, kulat atau sebarang serangga perosak
c. Sion diambil dari pokok yang vegetatif atau dorman
d. Ambil dari bahagian paling atas atau terdedah cahaya matahari
e. Pilih dari dahan atau ranting yang sihat (Vigorous)
f. Saiz ukirlilit sion mesti sesuai dengan saiz batang pokok penanti
g. Tidak ada putik bunga atau kudup bunga melekat pada sion
h. Simpan sion dalam tempat lembab dan tidak terdedah 
i. Cantuman dibuat seberapa segera selepas mengambil sion dari pokok induk.

Selamat membuat cantuman anak pokok!


SION CANTUMAN... MATA TUNAS NAMANYA...
MENCANTUM POKOK.... DITENTUKAN ASALNYA....
KEJAYAAN CANTUMAN.... PENTING DI TANYA...
POKOK BERKUALITI...AKAN DIHASILKANNYA...


By,
M Anem
Pusat Pengeluaran Benih Tanaman   ,
MARDI, Serdang, Selangor,
Malaysia.
(2 Syaaban 1433H)  

Saturday, July 21, 2012

TAHI KAMBING

TAHI KAMBING atau TINJA KAMBING  adalah salah satu hasil dari aktiviti menternak kambing yang boleh di menafaatkan sebagai baja organik yang sesuai untuk tanaman. Saya memang tahu akan perkara ini semenjak dulu kerana pernah memelihara kambing dan tahi kambing diambil dari kandang kambing akan di kumpulkan dan di letakkan di bawah pokok pisang, dan hasilnya pokok pisang subur dan memberikan hasil yang lumayan.  Selama ini kita hanya tahu yang aktiviti ternakan kambing dan kambing biri-biri hanya menghasilkan satu produk saja misalnya kambing pedaging hanya menghasilkan daging, manakala kambing tenusu mengeluarkan susu saja. Saya rasa ramai penternak sedia maklum tinja atau najis ternakan sesuai dijadikan baja bagi pelbagai jenis tanaman, sama ada untuk tanaman jangka pendek atau panjang. Pada masa ini telah ada teknologi dan teknik pemprosesan tinja yang biasanya dibuang begitu saja dimana ianya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar telah boleh di proses untuk dijadikan baja yang dikenali sebagai 'Baja organik'. Artikel subuh lepas sahur 1 Ramadan ini saya menulis bagaimana kita hendak menggunakan tahi kambing sebagai satu produk berguna dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.

Dalam Sektor Pertanian, mungkin anda pernah dengar berkenaan 'Baja organik' atau ada yang katakan lebih popular sebagai 'Emas Hitam' iaitu merupakan hasil tahi atau tinja kambing yang diproses atau dikitar semula. Baja jenis organik ini merupakan baja yang dihasilkan daripada punca tanaman atau ternakan yang tidak mempunyai sebarang bahan kimia atau bahan hormon lain. Dalam saya membuat pemerhatian mengenai aktiviti menternak kambing, kita akan bermula dengan bilangan populasi yang sesuai untuk mendapatkan jumlah tahi kambing yang ekonomik untuk di proses. Lazimnya dengan sebanyak 50 ekor kambing, penternak sudah boleh mengusahakan baja organik untuk meningkatkan pendapatan dan menggantikan punca pendapatan utama asal.  Disarankan agar projek ini  merupakan pelengkap kepada bidang penternakan selain daripada mendapatkan hasil aktiviti penternakan untuk daging, kulit, susu dan sebagainya. Kuantiti tahi kambing lazimnya terkumpul di bawah kandang akan bertambah dari sehari ke sehari. Keadaan penghasilan tahi kambing ini sering mengujudkan pencemaran bau jika kita tidak diuruskan dengan betul dan mengakibatkan pencemaran dikawasan kandang kambing. Keadaan berkenaan boleh menyebabkan berlakunya serangan beberapa jenis penyakit kepada kambing yang diternak seperti penyakit radang paru-paru terutama pada ternakan tua dan terlalu muda.

Jika tidak di seliakan dengan baik akan berlaku longgokan tahi kambing dimana kuantiti ini akan bertambah banyak. Sering kita dapati keadaan ini  akan menyebabkan pencemaran alam sekitar terutama masa keadaan lembab atau apabila hari hujan. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar Malaysia menunjukkan jika penternak yang mempunyai bilangan ternakan kambing sebanyak 250 ekor kambing, ianya mampu menghasilkan 9,000 kilogram (kg) atau sembilan tan tahi kambing mentah sebulan. Jumlah tahi kambing  yang dihasilkan setiap bulan dalam kuantiti banyak ini saya rasa memang boleh dijadikan sumber pendapatan yang lumayan sekiranya diurus secara sistematik.  Beberapa kajian dayamaju mengenai baja organik tahi kambing mendapati, ianya dapat dipasarkan pada harga RM800 - RM 900 setan. Beberapa kajian dari ladang komersial yang berskala 250 ekor kambing didapati mampu menghasilkan RM8,400 sebulan melalui kaedah pemasaran yang betul.  Jika baja organik dijual dalam bungkusan kecil maka pendapatan meningkat kepada angka yang lebih lumayan.  Harga jualan runcit tahi kambing sekitar RM 3.00 - RM 4.00 satu pek kecil.  Kaedah pemasaran yang strategik mampu menjadikan penghasilan baja kompos sebagai penjana pendapatan.

Berbalik kepada kaedah menternak kambing, saya dapati sistem penternakan intensif merupakan sistem paling sesuai bagi pengeluaran baja organik berkualiti. Ini berbanding dengan sistem ternakan secara bebas dimana kita tidak akan memungut jumlah tinja yang optimum. Kandang Kambing yang hendak dibina sebaiknya mempunyai standard sesuai iaitu dengan ketinggian enam kaki (2m - dua meter) dari permukaan tanah bagi memudahkan kerja memungut tahi kambing asli atau masih mentah. Perlu diingatkan agar dipermukaan bawah kandang sebaiknya di simen. Saya perhatikan bagi kandang kambing bersaiz kecil, cara untuk memungut tahi kambing boleh dilakukan dengan cara menggunakan plastik kanvas yang diletakkan di bawah lantai  dengan cara curam ke tepi kandang. Tahi kambing yang diperolehi dan segar ini mengandungi 83 peratus bahan mentah dari bahan organik yang sesuai untuk dijadikan sebagai baja organik. Jika kita kira balik, sebanyak sembilan tan metrik tinja mentah mampu menghasilkan 10.5 tan metrik baja organik setelah di proses dengan baik menggunakan kaedah yang betul.

Kaedah Memproses tahi kambing dijalankan dengan menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan bangsal (15 kaki x 28 kaki atau lebih besar) dan alatan seperti mesin pembancuh tinja, cangkul, jaring penapis, alat penimbang dan bekas plastik. Peralatan ini akan digunakan bagi memproses tahi kambing yang akan menghasilkan baja organik. Kiraan mudah mendapati, kos semua peralatan dianggarkan kira-kira RM10,000. Kita memang tahu yang baja organik tidak mengandungi sebarang bahan kimia, antibiotik atau hormon. Lebih baik lagi kerana tahi kambing tidak mencemarkan alam sekitar atau kualiti air. Penggunaan baja organik tahi kambing dilaporkan dapat mengurangkan serangan oleh beberapa patogen perosak seperti hama dan penyakit. Kajian menunjukkan bahawa baja ini sesuai digunakan bagi semua jenis tanaman jangka panjang terutamanya tanaman buah-buahan seperti durian, duku dan manggis serta tanaman jangka pendek sayuran berdaun atau sayuran buah seperti sawi, cili dan tomato. Memang baja organik memberikan faedah kepada tanaman seperti menyuburkan lapisan bawah permukaan tanah, meningkatkan populasi mikro organisma tanah dan juga meningkatkan daya serap akar ; daya serap air. Baja tahi kambing juga mampu meningkatkan ketersediaan unsur terutamanya unsur Nitrojan, Posforan serta Kaliam (NPK) dalam jangkamasa panjang untuk membentuk unsur yang sangat diperlukan tanaman. Umum memang tahu yang baja ini memang mampu mengurangkan kos pertanian dan ianya  MESRA ALAM. Saya syorkan kepada penternak kambing untuk memproses tahi kambing bagi mendapatkan hasil sampingan dan boleh di komersilkan bagi menjana pendapatan tambahan.

TAHI KAMBING ........ HITAM WARNANYA....
KALAU DI KUTIP... DI PROSES IKUT CARANYA....
BAJA ORGANIK....BANYAK MENAFAATNYA....
BOLEH DI JUAL... BAJA ORGANIK NAMANYA....


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya.
Malaysia
(1 Ramadan 1433H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...