Wednesday, October 3, 2012

PANDUAN MERACUN SAWIT

Reactions: 
MERACUN RUMPAI merupakan satu kaedah mengawal rumpai di ladang tanaman kelapa sawit yang paling lazim dijalankan di Malaysia. Racun Rumpai (Herbicide) merupakan bahan asas yang digunakan dalam aktiviti meracun rumpai dalam pelbagai bentuk sama ada cecair, serbuk dan sebagainya. Racun Rumpai boleh dibeli daripada pembekal-pembekal yang berlesen dan dikawalanselia penjualannya oleh pihak berkuasa terutamanya jenis racun berjadual di bawah akta. Memang ramai pekerja ladang dan petani yang terlibat dengan aktiviti meracun rumpai sama ada secara kecil-kecilan atau di estet kelapa sawit swasta yang luas. Beberapa teknik dalam aktiviti menyembur racun rumpai idjalankan oleh pihak estet dan pekebun kecil setiap masa. Teknik yang paling lazim dilaksanakan adalah dengan membuat semburan racun rumpai menggunakan alat Tong Penyembur (Knapsack Sprayer). Kaedah ini paling mudah dijalankan, liputan yang meluas dikawasan yang sukar dijangkau oleh jentera, praktikal, mudah di kawal oleh pihak pengurusan dan kos yang cekap. Artikel kali ini saya akan menulis mengenai panduan meracun rumpai di kawasan ladang kelapa sawit didalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama dengan pembaca blog ini.


Perkara pertama dalam panduan meracun dikebun kelapa sawit adalah memeriksa jenis rumpai yang terdapat diladang dan tahap pertumbuhan rumpai tersebut. Jika didapati rumpai telah mencapai satu tahap yang perlu dikawal, pilih kaedah kawalan yang paling sesuai dijalankan sama ada di kawal dengan kaedah mekanikal (di lanyak dengan trekter, ditebas dengan tajak atau parang, dicabut dengan tangan dan sebagainya). Jika rumpai masih sedikit dan terdapat dibeberapa lokasi sahaja boleh dikawal dengan cara manual. Periksa jenis rumpai yang didapati sama jenis rusiga, rumpai berdaun lebar, jenis pokok renek, jenis berkayu atau jenis yang menjalar atau merayap. Pastikan rumpai yang tumbuh menjalar dikawasan pangkal pokok dibuang menggunakan tangan atau alatan lain dan elakkan daripada menyembur terus racun yang terdapat melilit pada anak pokok kelapa sawit yang masih muda. Apabila kita dapati keadaan rumpai sudah menjejaskan pertumbuhan pokok sawit diladang , kita boleh laksanakan kawalan dengan kaedah meracun. 


Pemilihan jenis racun rumpai disesuaikan dengan jenis rumpai yang hendak dikawal. Terdapat jenis racun rumpai JENIS RACUN PRA-CAMBAH, JENIS RACUN SENTUH dan juga JENIS RACUN SISTEMIK (Sila rujuk disini untuk mengetahui mengenai perincian racun rumpai - Klik Disini). Terdapat jenis rumpai yang boleh dibunuh dengan menggunakan racun sentuh seperti jenis rumput kerbau, rumput israel, rumput selaput tunggul, jenis berdaun lebar tetapi terdapat rumpai yang mesti gunakan racun jenis sistemik. Antara rumpai yang perlukan racun sistemik seperti Lalang (Imperata cylindrica), Senduduk (Melastoma malabraticum) dan sebagainya. Ini kerana jenis rumpai yang mempunyai rhizom serta berkayu dan mempunyai akar dalam sukar mati jika tidak menggunakan racun sistemik. Pastikan membeli racun yang tulis dengan pembekal yang bertauliah. Saya sering juga menerima aduan daripada pekebun kecil yang menyembur racun di ladang sawit tetapi rumput tidak mati. Banyak punca yang mungkin menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya adalah menggunakan racun tiruan, hujan selepas menyembur racun, kadar sukatan kurang tepat dan tidak mengikut label serta menggunakan air yang rendah kualitinya.


Perkara ketiga dalam panduan meracun rumpai adalah pemilihan alatan menyembur yang sesuai dengan keadaan rumpai dan keluasan ladang serta kemampuan pekerja. Tong Penyembur (Knapsack Sprayer) merupakan alat penyembur racun rumpai palin meluas digunakan. Alatan lain adalah seperti 'Boom Sprayer', 'Backpack Motorised Sprayer' dan Static High Power Motorised Sprayer' serta beberapa peralatan lain. Tong Galas Penyembur Racun jenis plastik dengan isipadu 3 liter atau 4 liter merupakan jenis  tong yang paling banyak digunakan. Jenis ini ringan, mudah di bawa dan murah selain daripada agak tahan lama. Dahulu ramai yang menggunakan tong galas penyembur jenis metal yang mahal dan tahan lama. Satu biji tong ini berharga sekitar lebihkurang RM 100 sebiji bergantung kepada kualiti. Tong ini perlu dibasuh selepas digunakan dan disimpan ditempat yang redup serta selamat. Pastikan sistem pam diservis setiap kali digunakan untuk mempoastikan ianya berfungsi dengan baik.


Kerja menyembur racun rumpai merupakan perkara paling kritikal didalam aktiviti meracun rumpai. Pastikan orang yang menyembur racun mempunyai ilmu pengetahuan cukup mengenai panduan keselamatan meracun rumpai. Mereka perlu tahu dan mahir serta mengenali akan behaya racun dan langkah-langkah keselamatan dengan aktiviti meracun.  Pastikan mereka memakai pakaian keselamatan, tutup mulut, tidak merokok, tidak makan, tidak minum semasa meracun, meracun tidak melawan angin dan mencuci tangan selepas selesai meracun. Kaedah meracun sama ada diantara barisan tanaman kelapa sawit atau dikeliling pokok perlu di laksanakan dengan cara berbeza. Jika hendak menyembur dikeliling pokok pastikan dipasang corong khas pada nozel untuk mengelakan semburan racun rumpai mengenai daun pokok kelapa sawit yang masih muda. Kita terpaksa menyulam pokok sawit yang mati jika terkena racun dan ini merugikan kita juga.


Perkara ke lima dalam panduan meracun rumpai di ladang kelapa sawit adalah mengenai keselamatan keseluruhan aktiviti. Jika berlaku kecelakaan terhadap penyembur racun , pastikan dibawa untuk rawatan dengan segera. Kejadian ini perlu dirujuk kepada doktor untuk membuat pemeriksaan jika ada tanda-tanda keracunan seperti muntah-muntah, pening kepala, mata kabur atau sakit perut dengan tiba-tiba. Kawasan yang hendak disembur racun juga perlu dikawal agar tidak ada manusia atau binatang ternakan masuk kekawasan tersebut. Terdapat ternakan ruminan seperti kambing, berbiri, lembu dan kadang-kadang ayam yang masuk kawasan baru diracun dan menyebabkan kematian atau kesihatan kepada ternakan tersebut. Pengalaman saya dengan aktiviti ternakan lebah madu (Apis cerana) mendapati banyak lebah akan mati selepas hinggap pada bunga rumput Israel (Asystasia spp) kerana lebah tersebut menyedut racun rumpai bukannya nektar. 

MERACUN RUMPAI...IKUT PANDUAN...
PERLU DIKETAHUI...JENIS BAHAN....
MENYEMBUR RACUN...PERLAHAN-LAHAN...
KITA SELAMAT...RUMPAI PUN PADAM....

By,
M Anem
Kg Tehel, Jasin,
Melaka, 
Malaysia
(14 Zulkaedah 1433H)
     

1 comment:

  1. mcm mana dengan kadar pertumbuhan rumpui bgi ladang kelapa sawit bagi tahun pertama ?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA