Support My Blog

Tuesday, April 17, 2012

PISANG NIPAH

PISANG NIPAH atau PISANG ABU (Musa acuminata balbisiana)  merupakan satu varieti pisang yang popular untuk tujuan di goreng, di buat kueh dan juga di buat kerepek pisang di negara kita dan juga di Indonesia. Pisang Nipah ditanam secara monokrop komersial dan juga sebagai tanaman keliling kawasan rumah atau di kawasan lapang di tepi sungai, batas taliair atau sebagai tanaman pagar sempadan dikawasan yang sesuai. Tanaman ini menjadi satu kemestian di tanam di kawasan kampong di Malaysia dan juga di Indonesia sebagai tanaman yang sentiasa membekalkan buah pisang nipah sepanjang tahun. Keluasan tanaman pisang di negara kita adalah sebanyak 31,456 hektar pada tahun 2012 dengan anggaran pengeluaran sebanyak 335,974 metrik tan (Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2012). Terdapat beberapa jenis pisang selain pisang nipah yang popular seperti Pisang Rastali, Pisang Tanduk, Pisang Mas, Pisang Cavendish, Pisang Embun, Pisang Awak, Pisang Berangan dan sebagainya. Artikel sebelum maghrib Selasa ini, selepas balik kerja bagus juga tulis teknologi tanaman pisang sambil makan pisang nipah digoreng dan mengarang.


Pokok Pisang Nipah merupakan antara pokok yang agak tinggi mencapai sehingga 7-8 meter dan tumbuh dalam rumpun yang sederhana besar (Lihat foto). Pokok pisang nipah mempunyai batang yang bersaiz besar dan mempunyai anak yang sederhana banyak. Pemerhatian saya mendapati pokok pisang nipah adalah sesuai ditanam dalam pelbagai jenis tanah asalkan mempunyai sistem saliran baik dan tanah mengandungi bahan organan yang tinggi. Daunya yang agak panjang dan lebar mempunyai warna daun agak hijau gelap apabila tua. Bahan tanaman lazimnya daripada Sulur Dara, Sulur Pedang atau Sulur Payung yang dikeluarkan dari pangkal pokok. Anakbenih sulur ini mudah diperolehi daripada pokok pisang nipah yang matang atau membelinya dari nurseri atau bahan tanaman dari Kultur Tisu (Agak kurang di buat kultur tisu bagi varieti ini).


Jantung Pisang Nipah adalah antara jenis jantung pisang paling sesuai dipetik untuk dijadikan sayuran atau ulam-ulaman. Ini kerana jantung pisang nipah adalah lemak, bersaiz sederhana besar dan paling penting tidak pahit atau rasa kelat seperti sesetengah varieti pisang. Saya paling suka ambil jantung pisang nipah atau beli daripada pasar tani, pasar borong atau Hypermarket untuk direbus dan dimakan dengan nasi dan sambal. Harga jantung pisang nipah sekitar RM 1.00 sebiji di pasar malam. Bunga pisang nipah pada jantung pisang merupakan varieti yang paling manis menghasilkan nektar (manisan madu) dimana serangga suka menyedut nektarnya. Bagaimana pun laporan daripada Dr Herman, iaitu Ketua Pelyelidik Buah-buahan Tropika di Indonesia menyatakan pisang nipah adalah antara varieti yang paling mudah di serang penyakit 'Blood disease'. 


Buah Pisang Nipah paling sesuai untuk di goreng. Setiap tandan buah pisang nipah mempunyai berat antara 12 - 28 kg (antara tandan varieti pisang yang besar dan berat) dengan sebanyak 12-18 sisir buah. Pemerhatian saya mendapati, setiap sisir buah pisang mempunyai 12 - 20 jejari pisang bergantung kepada pengurusan tanaman yang dijalankan. Ukuran jejari buah pisang nipah sekitar 10-15 cm panjang dan 3-4 cm ukuran garispusat.  Buah yang muda berwarna hijau dan akan bertukar kepada warna kekuningan apabila hampir matang bila dituai.  Kulitnya adalah tebal tetapi buah ini memang sangat mudah untuk dikupas atau dibuang kulitnya. Isinya berwarna krim putih dengan mempunyai terkstur yang agak kasar. Lazimnya sisir pisang akan masak daripada bahagian tangkai buah dan kemudian hujung buah. 


Pisang Goreng daripada varieti Pisang Nipah adalah jenis yang paling banyak digoreng bagi dimakan sendiri atau dijual di tepi-tepi jalan. Pisang yang hampir masak di kupas kulitnya, dipotong dua sebelum di celup dengan adunan tepong pisang goreng. Syarikat ADABI mengeluarkan tepong pisang goreng yang lazat. Pisang yang masih panas ini dihidangkan untuk dimakan begitu sahaja atau dicecah dengan sambal kicap (Resepi orang Johor). Sebaiknya sambal kicap yang dibuat menggunakan bahan seperti cili api, bawang putih, gula dan kicap pekat lemak manis. Selain itu saya juga suka makan kerepek pisang nipah yang rasanya masim-manis-lemak.  Kerepek pisang nipah selalu dijual dengan harga RM 8.00 satu kilogram. Bekalan bahan mentah untuk pisang nipah dibuat kerepek juga mudah didapati. Semuga artikel petang ini berikan sumber maklumat tambahan kepada pembaca.


PISANG NIPAH....TINGGI POKOKNYA....
DITANAM MUDAH ....SUBUR ANAKYNYA.....      
TANDAN PANJANG....PEMBAJAAN AMALANNYA...
PISANG GORENG...VARIETI NIPAH JAWABNYA...


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
WP Persekutuan, Malaysia.
(23 JamadilAwal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...