Thursday, December 22, 2011

SANTAN KELAPA

Reactions: 
SANTAN KELAPA atau 'Coconut Milk' merupakan satu produk dari biji kelapa (Cocos nucifera) yang banyak kegunaannya. Santan Kelapa dihasilkan dari perahan isi kelapa iaitu cecair yang berwarna putih serta mengandungi banyak zat makanan. Pada zaman dahulu, secara tradisional isi kelapa akan diparut dengan menggunakan alatan 'Parut' atau 'Kukur' kemudian dicampur dengan air sebelum diperah bagi menghasilkan santan. Pada masa kini santan kelapa dapat diperah terus secara cekap menggunakan Alatan Mesin Pemerah Santan Kelapa. Terdapat beberapa varieti kelapa yang mengandungi santan yang banyak dan ada juga varieti kelapa yang kurang kandungan santannya. Umur pokok juga memainkan peranan penting mengenai kualiti santan dimana pokok muda kualiti santanya rendah (cair) berbanding dengan pokok tua. Lazimnya biji kelapa dari pokok yang tua memberikan kualiti santan lebih baik kerana ianya lebih pekat. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Santan Kelapa untuk bacaan dan juga bagi pengetahuan semua pembaca blog ini.


Santan Kelapa banyak mengandungi zat permakanan seperti Vitamin, Lemak, Asid Laurik serta banyak kandungan mineral (Kalsiam dan Ferum) . Setiap 15 gram santan mengandungi sebanyak 35 kilokalori tenaga, Lemak (3.6 g atau 6% dimana 3.2 gram adalah Lemak Tepu dan sebanyak 0.2 gram adalah Lemak Tidak Tepu), Protin (0.3 gram), Gula (0.2 gram), Serat (0.2 gram) dan Karbohiderat (0.8 gram) serta Vitamin A dan Vitamin C. Kandungan zat dalam permakanan ini banyak bergantung kepada varieti kelapa dan umur pokok kelapa. Kandungan air dalam santan kelapa adalah komponen paling tinggi.


Proses memerah santan kelapa kini telah menjadi mudah dengan penggunaan beberapa mesin seperti mesin parut kelapa, mesin pemerah santan kelapa dan juga alatan lain. Kelapa perlu di buang kulit sabut secara manual menggunakan 'Penyadap' di kebun kelapa sehingga menjadi kelapa bulat. Kelapa ini perlu dipecahkan dan keluarkan airnya (Air kelapa boleh diproses menjadi Nata de Cocoa atau CocoJelly). Keluarkan isi kelapa kemudian dimasukkan terus kedalam mesin pemerah santan kelapa dan menghasilkan santan. Kaedah lain adalah dengan membelah kelapa kepada 2 bahagian dan diparut menggunakan mesin parut kelapa. Parutan kelapa ini perlu dicampur dengan air untuk diperah santannya atau dimasukkan kedalam 'press machine' bagi kuantiti yang banyak (Lihat foto diatas).


Cara perah santan kelapa dengan tangan adalah kaedah tradisional paling asas dalam mengeluarkan santan. Parutan kelapa perlu dicampur dengan air dan kemudian diperah santannya. Kekuatan tangan untuk perah santan penting dimana perahan pertama untuk menghasilkan 'santan pekat' dan perahan berikutnya adalah untuk mendapatkan santan cair (ditambah air beberapa kali). Air perahan sebaiknya di tapis menggunakan penapis plastik untuk mengelakkan hampas kelapa masuk kedalam santan dan mempastikan serbuk tempurung tidak bercampur dalam santan. Santan baru yang segar boleh terus digunakan atau juga boleh di simpan dalam peti sejuk. 


Pada masa ini telah banyak santan cair dan santan serbuk yang dijual di pasaran. Antara produk santan cair yang ujud dipasaran seperti Santan jenama 'Ayam Brand' dan 'Kara' dalam bentuk cecair UHT. Saiz kotak santan dalam 200 ml dan 500 ml dijual dengan harga RM 2.00 - RM 5.00 bergantung kepada jenama. Pada masa ini banyak produk santan cecair diimpot daripada Indonesia dan Filipina. Santan ini tahan lama dan disediakan tanpa bahan pengawet sesuai untuk kumpulan komuniti di bandar. Santan Serbuk pula dihasilkan dalam bentuk serbuk tepung putih yang perlu di cairkan dahulu dengan air sebelum digunakan. Syarikat S&P di Batu Pahat merupakan salah satu pengeluar santan serbuk di Malaysia.


Santan Segar yang dijual di Pasar Basah dan Pasar Tani lazimnya berharga RM 3.00 setiap 500 gram atau RM 6.00 - RM8.00 sekilogram. Santan banyak digunakan dalam penyediaan makanan seperti untuk masakan Nasi Lemak, Masak lemak, Kuih, Cendol , Lodeh, Masakan Kari dan banyak lagi. Boleh dikatakan peranan santan dalam penyediaan makanan oleh masyarakat kita amat signifikan. Penanaman kelapa di Malaysia diteruskan dengan memperkenalkan jenis kelapa baru seperti Kelapa MATAG yang mampu menghasilkan banyak buah kelapa. Malaysia juga ada mengimpot buah kelapa segar dari negara jiran Indonesia dengan permit impot dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian Malaysia (FAMA dan Jabatan Pertanian) terutama untuk bekalan pada musim perayaan.



SANTAN KELAPA...PUTIH WARNANYA...
KELAPA DI PECAHKAN...DIAMBIL ISINYA...
PERAHAN TANGAN..SEDIKIT SANTANNYA...
PERAHAN MESIN...KOMERSIAL CARANYA....


By,
M Anem
Kota Bharu Airport,
Kota Bharu, Kelantan,
Malaysia
(25 Muharam 1433H)       

2 comments:

  1. nk minta izin nk copy...nk uat kerja kursus

    ReplyDelete
  2. salam , saya minta izin copy artikel ini untuk kerja kursus boleh ?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA