Support My Blog

Thursday, November 17, 2011

PETIK DUKU

DUKU (Lansium domesticum) adalah sejenis buah-buahan tempatan dari keluarga MELIACEAE yang popular di negara kita. Rekod Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 16,320 hektar tanaman jenis Duku, Duku Johor, Duku Langsat, Langsat dan Dokong serta Rambai dilaporkan pada tahun 2010 dengan anggaran hasil sebanyak 32,420 metrik tan. Buah duku akan bertukar daripada warna hijau ke warna kuning apabila buah mencapai peringkat masak.  Walau bagaimanapun, corak kemasakan buah duku  berlaku tidak serentak dalam satu tangkai.  Pada masa kebanyakan buah telah bertukar warna menjadi kuning masih terdapat buah-buah yang lain yang masih hijau.  Keadaan ini menimbulkan masalah dalam penuaian.

Peringkat kemasakan duku di Muar didapati boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut perubahan warna buah iaitu (1) hijau kekuningan; (2) kuning kehijauan; (3) kuning; (4) kuning cerah dan (5) kuning keperangan.  Kemanisan buah meningkat dan kemasaman buah menurun apabila buah semakin kuning.  Buah duku sudah boleh dipetik apabila kebanyakan buah pada sesuatu tangkai sudah berwarna kuning atau kuning cerah dan kuning keperangan iaitu 15-16 minggu dan tarikh bunga berkembang.  Pada ketika itu, buah mengandungi jumlah pepejal terlarut antara 15-18% dan kandungan asid antara 0.2-0.4%. Artikel kali ini saya kongsi maklumat mengenai teknologi tanaman duku daripada pengalaman dan rujukan risalah teknikal.

Penuaian buah duku perlu dilakukan dengan cermat supaya ianya tidak merosakkan buah yang dipetik.  Buah hendaklah dipetik seawal-awalnya pada lewat pagi iaitu antara pukul 10.00 atau 11.00 pagi hingga ke tengah hari atau petang untuk mengelakkan buah pecah.  Sekiranya buah dipetik pada awal pagi lazimnya peratus buah pecah adalah tinggi.  Kadangkala dalam keadaan cuaca redup atau hujan pagi, penuaian perlu dilakukan pada lewat tengah hari.  Penuaian dilakukan secara memilih iaitu dengan meleraikan buah yang telah kuning sahaja daripada tangkainya dan kemudian masukkannya ke dalam bekas kecil seperti bakul atau karung kain.  Buah yang masih hijau ditinggalkan pada tangkainya untuk dipetik kemudian hari.  Bagi pokok yang tinggi pengutip hasil  perlu panjat pokok dan bawa bakul atau karung kain yang telah diisi buah dan dihulurkan kepada seorang lagi yang menunggu di bawah pokok dengan tali.  Buah-buahan ini kemudian dipindahkan ke dalam bakul atau bekas plastik yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan.  

Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian. Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari.  Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari.  Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah duku bergantung pada kegemaran pengguna.  Berdasarkan kajian yang saya jalankan di Muar mendapati buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.  Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%).  Walau bagaimanapun kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam.  Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek.  Terdapat jua penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand.  Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).

Pemetikan buah duku adalah mudah kerana semua buah dalam satu tangkai masak serentak. Buah dipetik dengan memotong tangkainya menggunakan pisau atau gunting tanpa meleraikan buah daripada tangkai.  Buah dalam bentuk jambak dimasukkan ke dalam bekas seperti bakul atau karung kain semasa penuaian dan kemudian dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan.  Bagi pokok yang tinggi, penuaian dilakukan dengan memanjat pokok atau menggunakan tangga.  Buah yang diisi ke dalam bakul atau karung kain diturunkan menggunakan tali dan disambut oleh seorang lagi yang menunggu di bawah pokok.  Penuaian mesti dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan kecederaan pada buah.  Buah duku digalakkan dipetik selepas pukul 10.00 pagi untuk mengelakkan kejadian buah pecah.

KEMATANGAN BUAH  DUKU/DUKU-LANGSAT:
Buah duku akan berubah warna daripada hijau kepada kuning apabila masak.  Perubahan warna kulit daripada hijau ke kekuningan berlaku kira-kira 87 hari selepas bunga kembang.  Buahnya masak seragam dalam satu tangkai dan keadaan ini memudahkan proses penuaian.  Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian.

Indeks  1:Setiap buah dalam satu tangkai, sudah menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih kehijauan.
Indeks 2:Setiap buah pada satu tangkai berwarna kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan pada hujung buah.  Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya matahari.
Indeks 3:Setiap buah dalam satu tangkai berwarna kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah.
Indeks 4:Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.
Indeks 5:Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan.
Indeks 6:Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah pada indeks 5.


PENGENDALIAN LEPAS TUAI BUAH DUKU

(Cara Pengendalian di Ladang)

Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul dan diselenggara dengan cermat.  Buah diperiksa bagi mendapat kualiti yang serata.  Buah-buahan yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.

Penggredan Buah Duku
Selepas pengasingan dan pemilihan ini dilakukan, jambah buah duku boleh digredkan mengikut sistem gred yang diamalkan oleh pengusaha dan pemborong seperti berikut:-

Gred A:
Saiz buah besar, garispusat melebihi 3 cm, jambak lebat dan panjang.  Kulit buah bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga.

Gred B:
Saiz buah sederhana, jambak pendek dan buah jarang, bercampur dengan buah yang relai.  Kulit buah berbintik.

Gred C:
Buah yang relai, saiz bercampur.

Buah yang telah digredkan itu akan dimuatkan ke dalam bakul plastik atau raga buluh.  Bakul atau raga dilapis dengan suratkhabar sebelum diisikan dengan jambak buah.  

Penyimpanan Hasil
Buah duku yang masak hanya boleh disimpan selama 3-5 hari dalam suhu biasa.  Kulitnya akan layu dan menukar ke warna hitam jika tempoh simpanan dilanjutkan.  Oleh itu buah perlu dihantar ke pasar dan tempat jualan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti.  Simpanan di blik sejuk boleh menyebabkan kulit menjadi hitam dan ini adalah tidak disyorkan.

Masaalah keruping Pokok Duku

Tanaman ini berhadapan dengan masalah keruping kulit kayu yang menyerang batang, dahan ataupun rantingnya.  Keadaan keruping boleh menjadi begitu buruk sehingga merencatkan tumbesaran pokok, mengakibatkan mati rosot dan menjejaskan penghasilan sehinggakan sesetengah pengusaha mengalihkan tumpuan mereka kepada tanaman lain.

Gejala
Gejala keruping boleh berlaku pada anak pokok di tapak semaian dan juga pokok di ladang.  Di ladang, pokok muda dan baru matang lebih peka berbanding dengan pokok yang sudah tua.  Pada peringkat awal serangan, bintil-bintil bulat kecil berwarna coklat muda kelihatan bertaburan di permukaan batang, dahan ataupun ranting.  Apabila kulit kayu semakin matang bintil-bintil ini akan membesar dan menebal menjadi tompok-tompok yang lebih gelap.  Tompok-tompok ini membentuk seperti ketuat dan berkeruping.  Apabila dikopek, keruping ini akan tanggal dan mendedahkan bahagian dalam pokok yang hijau dan ulat akan kelihatan.  Walau bagaimanapun, kadangkala ulat tidak kelihatan apabila keruping dikopek. Semakin teruk serangan semakin tebal keruping.  Bintil-bintil yang kecil dan akan bercantum antara satu sama lain.  Seluruh permukaan batang, dahan dan ranting yang diselaputi oleh keruping akan kelihatan merekah.  Tumbesaran pokok akan terencat kerana pokok yang teruk diserang kurang berpucuk.  Jika berpucuk pun, pucuk yang keluar pendek dan kelihatan kekuning-kuningan kerana tidak sihat.  Ranting kecil yang teruk diserang menjadi kering dan mati.  Ini akan menyebabkan mati rosot.  Ranting pucuk baru juga akan diserang.  Pada peringkat awal serangan, ulat tidak kelihatan.  Bagi pokok yang sudah matang, serangan yang teruk akan menjejaskan pembentukan bunga kerana permukaan dahan dan ranting merupakan tapak bunga.

Agen Penyebab
Setakat ini terdapat dua pendapat tentang agen penyebab gejala  keruping pada pokok Lansium (duku terengganu dan dokong). Segelintir ahli sains berpendapat bahawa gejala ini disebabkan oleh serangan serangga berdasarkan adanya ulat apabila keruping dikopek.  Tetapi ada juga ahli sains yang berpendapat bahawa keruping atau ketuat disebabkan oleh serangan kulat.  Kehadiran ulat hanya merupakan serangan sekunder yang memakan tisu-tisu mati dalam bentuk keruping yang diakibatkan oleh kulat.  Setakat ini tidak pasti pendapat manakah yang betul.

Kawalan
Pokok yang mendapat penjagaan yang sempurna terutama dari segi pembajaan, naungan dan pengairan lebih tahan terhadap gejala ini.  Berdasarkan pemerhatian di stesen prtanian Tangkak gejala keruping boleh dikawal dengan lebih berkesan melalui penyemburan racun kulat berkupram.  Semburan boleh dibuat dengan menggunakan mana-mana peralatan penyembur sama ada yang bermotor atau tidak bermotor.  Yang penting muncung alat penyembur diacukan pada batang, dahan dan ranting-ranting yang diserang.  Bahagian yang diserang harus disembur hingga betul-betul basah.  Racun berkupram yang telah diuji ialah copper hydroxide serta copper oxychloride dan metallic copper.  Pada permulaannya, semburan dibuat setiap 10 hari sebanyak 2-3 kali .  Ini diikuti dengan semburan ulangan 2-3 bulan sekali sehingga keruping terhapus.  Berdasarkan pengalaman saya di Muar dan Pontian kadar yang disyorkan bergantung pada tahap serangan.

Kadar penyemburan untuk mengawal keruping



Bahan KimiaKadarKeadaan Serangan
Copper hydroxide40 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air
80 gm/18 liter air
Sederhana
Sederhana teruk
Teruk
Copper oxychloride44 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air
80 gm/18 liter air
Sederhana
Sederhana teruk
Teruk

Keruping pada pokok yang telah disembur menjadi rapuh dan seterusnya relai dari batang, dahan serta ranting dan jatuh ke tanah.  Pokok akan mula berpucuk dan pucuk baru kelihatan sihat dan panjang.  Gejala penyakit tidak lagi kelihatan.  Penyemburan perlu dibuat secara berterusan.  Pokok yang teruk diserang, hanya akan pulih dalam masa 8-10 bulan.  Semasa rawatan dijalankan, penggunaan racun serangga tidak digalakkan.  Amalan ini bertujuan mengelakkan pembunuhan ulat yang hidup aktif serta memakan keruping (kulit kayu yang mati).  Dengan ini, keruping akan relai dengan lebih cepat.  Bagaimanapun jika penyemburan racun serangga diperlukan untuk mengawal ulat daun, pastikan racun hanya disembur pada bahagian daun.
(Sumber: Jabatan Pertanian Perak)

BUAH DUKU...MANIS RASANYA...
DUKU JOHOR...TEBAL KULITNYA...
DUKU TERENGGANU..MAHAL HARGANYA...
DUKU LANGSAT...APA BEZANYA....

By,
M Anem
Kg Kesant Tua, Muar, Johor,
Malaysia.
(21 Zulhijjah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...