Support My Blog

Friday, August 5, 2011

MEMBUKA TOREHAN GETAH

MENOREH Getah (Hevea brasilliensis) merupakan salah satu satu kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan susu getah daripada batang pokok getah. Terdapat berbagai kaedah dan cara untuk menenghasilkan susu getah (rubber latex) seperti teknik torehan, injection dan sebegainya. Pokok getah yang berumur 5-7 tahun dengan ukurlilit batang melebihi 30 cm sesuai untuk dibuka sistem torehan. Saya berpengalaman membuka sistem torehan getah semenjak kecil dulu kerana pekerjaan penduduk di kampong saya asasnya dahulu adalah Penoreh Getah sebelum bertukar kepada komoditii kelapa sawit sekarang ini. Saya kira kemahiran membuka torehan getah dan menoreh masih ada sehingga sekarang tetapi dah lama tidak buat praktikal menoreh pokok getah. Artikel subuh ini saya menjelaskan teknik membuka torehan getah dalam "Anim Agro Technology" berasaskan pengalaman lama dan membuat beberapa rujukan saintifik.  


A) PEMBUKAAN PANEL TOREHAN
Dalam hal menentukan kedewasaan pokok getah umur pokok saya fikir tidak menjadi soal, yang penting ialah batangnya sudah mencapai lilitan yang dikehendaki. Didapati rata-rata klon LTC dapat ditoreh dalam jangkamasa 5 tahun selepas anak polibeg ditanam keladang. Pengurusan yang baik serta jenis tanah memainkan peranan penting dalam menentukan saiz batang pokok getah. Pastikan pokok getah mempunyai purata saiz batang yang seragam. Pokok cantum boleh dibuka tapak torehannya bila lilitan batangnya berukuran 45 sm disukat pada ketinggian 150 sm dari paras tanah. Kalau nak mudah ambil katu lurus atau batang buluh untuk menentukan ukuran ketinggian hentak membuka tapak torehan.Penentuan samada sesuatu lot itu sudah sesuai dibuka tapak torehan adalah berasaskan banci torehan.


B) PERSEDIAAN KEPERLUAN MENOREH
Berasaskan kepada kesediaan pokok getah untuk ditoreh, lazimnya arwah bapa akan pergi ke Pekan Gersik untuk membeli Cawan Getah (Dulu guna cawan tembikar, kini cawan pastik sahaja), Zink Sudu Pengalir, Dawai Pemegang cawan getah, Spring Pengikat Cawan Getah dan paling penting adalah Pisau Toreh serta 'Batu Asah'. Pisau Toreh ada dua jenis iaitu Jenis Pisau Tolak dan Jenis Pisau Tarek. Kemahiran untuk menajamkan pisau toreh (Mengasah Pisau) sangat penting dan kritikal kerana hanya piau yang tajam sahaja akan dapat menghasilkann susu yang banyak. Pisau tumpul akan mengurangkan susu dan sistem torehan yang tidak cantik. 


C) BANCI TOREHAN
Tiap-tiap pokok hendaklah diukur lilitan batangnya setinggi 150 sm dari paras tanah. Pokok yang berukuran 45 sm atau lebih hendaklah ditanda 3 titik (tanda titik itu hendaklah dibuat pada batang pokok setinggi yang diukur dengan cat hitam berbentuk bulat 1 cm garispusat beratur tegak). Pokok yang kurang dari 45 sm tetapi lebih dari 40 sm ditanda dengan 2 titik. Pengalaman saya bagi pokok-pokok yang kurang dari 40 sm tetapi lebih dari 35 sm ditanda dengan 1 titik. Kerja-kerja banci diulang tiap-tiap 3 bulan sehingga pokok yang bertanda 1 dan 2 titik bertambah lilitan menjadi 3 titik. Kerja-kerja membuka tapak torehan boleh dimulakan apabila 75% daripada pokok sudah mencapai ke3 titik.


D) MEMBUKA DAUN TOREHAN
Kerja membuka 'Daun Torehan' hendaklah dibuat separuh lilitan pokok. Saya akan pastikan iaitu lilitkan tali halus keliling pokok pada paras 150 sm. Kemudian Lipat dua tali tersebut dan lintangkan mengikut tanda pada batang pokok yang dibuat tadi. Seterusnya Buat Alur Bimbingan menandakan separuh lilitan disebelah hadapan dan belakang.  Disebelah depan alur bimbingan pasang pancuran 25 sm dibawah curaman torehan. Dialur bimbingan belakang potong kulit dengan pisau nipis sampai kekayu hingga keparas cantuman bagi mengelak kering kulit. Pasangkan dawai penyangkut mangkok dan letakan mangkok ditempatnya. Pada peringkat awal menoreh lazimnya susu getah yang dihasilkan agak sedikit dan kuantiti akan bertambah setiap hari berikutnya bergantung kepada klon pokok, teknik torehan dan waktu menoreh. Jika kita menoreh pada awal subuh dan cuaca hari tersebut mendung lazimnya jumlah hasil susu getah akan meningkat.


E) SIMBOL TOREHAN
Pada masa sekarang terdapat Satu media perhubungan antarabangsa untuk menerangkan mengenai SIMBOL TOREHAN. Kekerapan sistem torehan aakan menentukan cara pengurusan kebun getah kita. Di kampong saya mereka tidak ikut sangat sistem torehan antarabangsa. 


Kekerapan Torehan


d/1 = hari-hari.
d/2 = selang sehari.
d/3 = selang dua hari.
d/4 = selang 3 hari.
d/5 = selang 4 hari
d/6 = selang 5 hari.
d/0.5 = dua kali sehari.


Kekerapan Praktikal


d/1, 2d/3 = torehan tiap-tiap hari, dua hari ditoreh diikuti satu hari rehat.
d/2, 6d/7 = selang sehari, enam hari ditoreh diikuti satu hari rehat.
d/9, 6d/7 = selang 8 hari toreh, enam hari toreh diikuti satu hari rehat.


F)  SIMBOL PANEL TOREHAN
Gantian atau giliran panel pula menggunakan nombor;


BO-1 = alur torehan pertama pada kulit dara panel rendah.
BI-3 = alur torehan ketiga pada kulit pulihan pertama panel rendah.
BII-2 = alur torehan kedua pada kulit pulihan kedua panel rendah.
HO-4 = alur torehan keempat pada kulit dara panel tinggi.


Kepada pemilik kebun getah yang sudah cukup umur, mereka boleh merujuk artikel ini untuk dijadikan panduan. Pihak RISDA sentiasa memberikan latihan mengenai kerja torehan getah melalui sistem pengembangan yang dijalankan. Kemahiran (Skill) penoreh getah penting bagi menentukan ketahanan hayat pokok getah dan penghasilan susus getah (Latex) yang banyak dan konsisten.
Sekian sahaja kali ini.


MENOREH GETAH...NAMPAK MUDAH JE...
BATANG POKOK GETAH...PERLU DI JAGA...
TEKNIK MENOREH...PERLU BELAJAR...
KALAU PERLU....MENOREH JANGAN TERSASAR.,.

Related Articles:
1. HISKA Pembeku Getah (Klik disini)
2. Getah (Klik disini)
3. Getah Beku (Klik disini)
4. APEC Workshop (Click here)


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Subuh 5.50 pagi ; 5 Ramadan) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...