Support My Blog

Tuesday, July 26, 2011

KURSUS PENGELUARAN BENIH

KURSUS PENGELUARAN BENIH TANAMAN  kepada usahawan,, petani, pemilik nurseri dan pegawai diadakan untuk Zon Selatan di Pejabat Pertanian Daerah Muar pada 26 - 27 Julai 2011. Sebanyak 45 peserta telah hadir dalam kursus tersebut yang datang dari Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Kursus siri ke 2 ini diadakan selaras dengan program EPP14 iaitu salah satu program untuk meningkatkan kapasiti negara kita dalam program pengeluaran benih tempatan. Kursus siri pertama telah di adakan untuk  Zon Utara pada bulan Jun melibatkan seramai 60 orang peserta yang diadakan di Institut Pertanian Titi Gantong, Perak. Artikel ini menjelaskan mengenai sasaran dan serba sedikt mengenai kursus tersebut yang di rasmikan majlis penutup oleh YH Dato' Sabtu Slamat iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Malaysia.


Kertas pertama di bentangkan oleh Seksyen Pengeluaran Benih Tanaman (PBT) bertajuk "Dayamaju dan Potensi Pengeluaran Benih Tanaman Sayur-sayuran dan Buah-buahan di Malaysia". Penceramah (sayalah tu) menjelaskan status industri tanaman negara dan pentingnya industri benih di berikan perhatian dalam sektor pembangunan tanaman makanan. Pada masa ini hampir 95-98% biji benih tanaman sayuran terutama jenis sayur daun adalah diimpot dari luar negara. Begitu juga benih tembikai, melon, jagung manis, tomato dan semua jenis benih hibrid serta benih OP. Beberapa jenis varieti sayur-sayuran dan buah-buahan popular dijelaskan dalam ceramah serta keperluan untuk Malaysia. Kos pengeluaran dan harga runcit biji benih diterangkan berdasarkan kajian pada Jun 2011. Kaedah pengeluaran, pembungkusan, pengedaran dan syarikat swasta utama yang terlibat dengan industri biji benih di Malaysia juga di bincangkan. Nilai industri benih dunia pada 2010 sebanyak USD 32 billion (RM 98 billion) dan nilai industri benih di Malaysia cuma sekitar RM 30 juta. Perancangan yang tersusun dan rapi perlu diujudkan di Malaysia untuk mempastikan negera dapat menghasilkan benih tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada impot demi konsep keselamatan makanan (Food security).


Kertas 2 di bentangkan oleh Bahagian PTIF Putrajaya yang menjelaskan dayamaju pengeluaran benih tanaman kelapa, orkid, bunga-bungaan dan benih herba. Menurut penceramah industri pengeluaran kelapa MATAG mempunyai potensi yang tinggi untuk di hasilkan kerana masa kini hanya 2 sumber benih kelapa MATAG yang di sahkan tulen iaitu dari Jabatan Pertanian dan UP Plantation sahaja dan bekalan adalah jauh dari mencukupi berbanding dengan permintaan. Harga runcit di pasaran terbuka benih kelapa MATAG dilaporkan sekitar RM 12.00 - RM 15.00 sepokok. Bagi pengeluaran benih tanaman herba masih sangat kekurangan atau tidak mencukupi dan agak sukar untuk mendapatkan bekalan dari pembekal nurseri tempatan. Antara 5 jenis herba yang disasarkan untuk pengeluaran komersil dalam EPP1 adalah seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Dokong Anak dan Hempedu Bumi. Bekalan benih bunga-bungaan dan benih orkid juga berpotensi untuk dimajukan menggunakan teknologi tisu didik.


Petang hari pertama di jalankan program lawatan ke Chiap Hup Company di Tangkak iaitu salah satu syarikat tempatan yang mengimpot banyak benih tanaman sayuran, tembikai dan plastik silvershine dari pada Taiwan dan China. Taklimat oleh Mr Tan di adakan dalam bilik mesyuarat dengan memberikan latarbelakang syarikat yang bermula semenjak 1975. Kini syarikat ini mengimpot benih sayuran , tembikai, melon dan beberapa jenis lagi melalui pengimpotan dimana punca benih adalah dari Yunan, China yang menggunakan benih asas dari Malaysia. Dakwanya pengeluaran benih (seeds) di China pada musim bunga dan panas menghasilkan kualiti benih yang berhasil tinggi dan kualiti lebih baik berbanding dengan pengeluaran tempatan. Sebagai contoh pokok benih bayam yang di tanam di Malaysia cuma setinggio 3-4 kaki sahaja tetapi benih asas yang sama yang ditanam di Yunan China setinggi 5-7 kaki dengan bunga dan biji berkali-kali ganda lebih banyak setiap pokok. Biji yang dihaisilkan juga lebih padat, besar dan berat serta vigorous dakwanya. Syarikat ini mengimpot paling banyak benih kangkong iaitu sebanyak 200-220 metrik tan setahun (Varieti Daun Bulat dan Varieti Daun Tirus). Jangkamasa 1 bulan diperlukan dari Yunan, China sehingga tiba di Tangkak untuk di proses dan pembungkusan semula. Ujian percambahan dijalankan mengikut keperluan. Terdapat benih tembikai yang di simpan tahan selama 10 tahun didalam bilik sejuk dengan kelembapam (RH) 60% dan suhu pada 18 darjah celsius. Syarikat ini juga mengeluarkan plastik silvershine daripada kilangnya untuk edaran tempatan terutama bagi tanaman saturan, tembikai dan melon. 


Satu Projek terbaru Syarikat Chiap Huat ialah mengeluarkan anak benih pisang berangan dengan menggunakan kaedah Tisu Didik (Tissue culture). Teknologi yang digunakan merupakan teknologi terkini yang di 'patent'kan dari Taiwan iaitu menggunakan mesin PLANTMA iatu 'Teknologi menggunakan media cecair'. Teknologi sedia ada menggunakan media agar hanya mampu menghasilkan sebanyak 16 plantlets satu bekas tetapi teknologi baru cecair ini mampu mengeluarkan sebanyak 100 plantlets satu bekas. Kapasiti pengeluaran peringkat awal sekarang sebanyak 30,000 - 40,000 anak pisang sebulan dan akan meningkat berganda apabila semua prasarana disiapkan. Harga jualan bergantung kepada saiz anakbenih iaitu 3 inci (RM 0.70 satu) dan bersaiz 7 inci (RM 1.50 satu tanpa kos transpot). Lokasi syarikat ini yang sangat hampir dengan Tol PLUS Tangkak memudahkan pengangkutan kemana-mana lokasi di Semenanjung Malaysia.


Lawatan kedua adalah ke Ladang Sayuran Daun Projek Kelompok Sayuran Bt 18-19 , Sengkang, Bukit Gambir, Ledang Johor iaitu 46 km daripada Bandar Muar. Terdapat lebih 500 ekar (202 ha) kawasan tanah gambut yang menanam pelbagai jenis sayuran daun (Sawi, kailan, Kucai, Kangkong, Bayam dan banyak lagi jenis sayur daun) serta terdapat selingan dengan Jambu Batu, Pisang dan beberapa jenis sayur buah. Taklimat di berikan oleh AO Ledang iaitu Encik Jamal sebelum di sambung soaljawab dengan Anak En Tan Soo Tiok (Rakan lama saya). Kelompok ini adalah Johan Pertandingan Kelompok Kebangsaan Malaysia tahun 2009 (semasa saya jadi AO Daerah Muar). Benih sayuran daun yang digunakan semuanya adalah benih impot dari beberapa syarikat kecuali benih Sawi Pahit yang dihasilkan oleh petani sendiri. Ini kerana benih sawi pahit tiada di pasaran terbuka. En Tan memberitahu setakat ini jaminan kualiti benih yang dibekalkan adalah sangat baik dan jarang-jarang percambahan kurang dari 90%. Syarikat pembekal akan mengganti jika benih yang dibeli kurang bermutu.


Kos pembelian benih untuk 80 ekar kawasan penanaman sayur daun Tan Soo Tiok dahulu sebanyak RM 22,000 - RM 24,000 sebulan kini telah dapat di kurangkan kepada RM 8,000 - RM 10,000 sebulan kerana kos yang semakin meningkat, berlaku pembaziran semasa menanam dan yang penting menggunakan mesin inovasi menyemai biji benih terutama tanaman kailan. Menis tersebut direkacipta untuk meningkatkan ketepatan satu biji setiap lubang penanaman dan menggunakan media tanah berbaja yang diimpot dari Jerman dengan kos RM 36.00 satu beg (Jenama 701). Media ini memang mengandungi nutrien tambahan untuk di semai selama 2 minggu dan kailan akan dituai selepas 45 hari di ubah keladang. Kalian di tanam dan dituai setiap hari untuk pasaran di Melaka, KL, Batu  Pahat, Segamat dan Muar. Menurut Tan varieti sayur daun tidak banyak berubah semenjak 10 tahun dahulu. Paling penting katanya ialah pengguna mahu membeli varieti sayur daun sedia ada.


Kertas 3 dan Kertas 4 dibentangkan oleh Hj Nasir yang bertajuk 'Genetik dan Pembiakbaka Tanaman' dan 'Oiawaian Kualiti Benih Tanaman'. Ceramah ini membentangkan apakah dia pembiakan tampang dan pembiakan bijibenih tanaman. Program pembiakan memang perlukan ramai saintis biakbaka untuk menghasilkan varieti baru atau  memperbaiki varieti sedia ada. Penceramah seterusnya merujuk kepada pengeluaran benih tanaman nenas yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu nenas varieti MD2. Kini keperluan benih MD2 adalah sangat berkurangan sementara anakbenih nenas tisu didik menghasilkan 30% variasi yang lain daripada ciri-ciri MD2 asal. Penceramah seterusnya merujuk tanaman jagung manis untuk proses penghasilan biji benih berkualiti. Proses penanaman sehingga proses peleraian dan pemilihan biji benih dijelaskan secara jelas. Kertas 4 membincangkan piawaian beberapa jenis benih yang telah diujudkan oleh Jabatan Pertanian sebagai satu langkah untuk membangunkan industri benih kearah standard antarabangsa (ISTA).


Ceramah Kertas 5 dibentangkan oleh En Wan mengenai proses penyediaan dan penyelenggaraan biji benih.Beliau yang terlibat dengan pengeluaran benih bayam dan sawi kerinting di Pusat Pertanian Pulau Gadong menerangkan langkah-langkah yang perlu dijalankan dari mula penyediaan kawasan, menanam, menyiram, membaja, mengawal rumpai, menuai, melerai, memproses dan menggred sehingga membunggkus dan menyimpan biji benih. Terdapat 'SOP' yang mesti diikuti untuk menghasilkan biji benih sayuran yang bermutu. Beberapa cashflow mengenai pengeluaran benih tersebut juga dibincangkan dalam ceramah beliau.


Kertas terakhir iaitu Kertas 6 dibentangkan oleh Syarikat Hup Nong Sdn Bhd daripada Bukut Beruang, Melaka. Syarikat ini merupakan syarikat yang aktif dalam pengimpotan bijibenih dari luar negara dan mengedarkan kepada petani di Malaysia. Syarikat membincangkan strategi pemasaran dan langkah-langkah promosi untuk mempastikan pengedaran biji benih adalah sentiasa terus kompetitif. Banyak maklumat mengenai perniagaan biji benih yang dibentang dengan pengalaman sedia ada syarikat dan cabaran-cabaran dalam industri ini. Antara produk syarikat ialah benih hibrif F1 impot, Benih OP Impot, pelbagai jenis Baja dan produk-produk pertanian yang lain. Pengalaman syarikat ini memeng berguna dalam pendedahan bakan usahawan benih dalam industri yang penting ini.


KURSUS BENIH....SANGAT BERGUNA...
ILMU BENIH ...DIKONGSI BERSAMA...
BENIH IMPOT...MASIH BERLELUASA....
MAMPUKAH KITA....ATASI BERSAMA?...


By,
M Anem
2006, Hotel D'99,
Jalan Abdullah,
Muar, Johor,
Malaysia
(Jam 11.45 malam) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...