Support My Blog

Monday, July 11, 2011

Kenapa Rambutan?

RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L.) merupakan sejenis pokok buah-buahan Tropika dari keluarga SAPINDACEAE yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Tanaman ini merupakan tanaman tropika yang mengeluarkan buah secara bermusim yang di tanam secara komersil atau sebagai tanaman dusun bercampor. Buah Rambutan kini bukan menjadi satu pilihan utama kepada ramai petani di Malaysia dan keluasan penanaman rambutan didapati telah menurun daripada seluas 38,765 hektar pada tahun 1995 kepada 25,460 hektar pada tahun 2010. Anggaran pengeluaran hasil rambutan pada tahun 2010 adalah sebanyak 32,740 metrik tan yang bernilai RM 171.6 juta. Persoalannya adakah tanaman rambutan akan terus kekal sebagai buah-buahan tempatan yang berpotensi untuk berkembang atau satu hari nanti akan jatuh kepada tahap Buah Nadir kerana kurang permintaan?...Artikel subuh ini cuba dalam "Anim Agro Technology" saya akan cuba membincangkan beberapa isu mengenai 'Kenapa Perlu Tanam Rambutan'?


Rambutan secara tradisinya dulu di tanam di keliling rumah di kawasan perkampongan tradisional secara dusun bercampor dengan durian, manggis, mangga dan macam2 lagi. Terdapat beberapa petani sahaja yang menanam rmbutan secara monokrop pada waktu dulu kerana mempunyai pasaran yang baik. Jabatan Pertanian dulu memajukan tanaman rambutan secara aktif di bawah 'Program Pelbagai Input Tanaman' (atau AID - Agriculture Input Diversification Program' ) yang telah berjaya mengedarkan pokok rambutan dikeliling rumah. Ini menjadikan tanaman rambutan yang ada sekarang ini adalah dari klon atau varieti rambutan manis yang boleh dimakan dan dijual. Program ini telah berjaya dengan begitu baik sekali kerana kini Rambutan Masam hampir pupus dan tiada lagi dijual. Pokok-pokok rambutan yang diedarkan pada tahun 1970'an dan 1980'an kini telah berumur lebih 25 tahun dan perlu ada program untuk menanam semula.


Antara beberapa klon rambutan yang popular di Malaysia adalah seperti R136 (Rambutan Gading Muar -Kuning), Rambutan R134 (Singapore - Merah), R 179 (Beli Cheng - Merah), R191 (Anak Sekolah - Merah) dan R193 (Deli Baling - Merah). Klon-klon tempatan lain seperti R3 (Gula batu- Asal Penang), R153 (Bunga mawar - Kedah), R171-181 (Taiping) dan R192 (Ganja - asal Kedah). Terdapat sebanyak 62 klon rambutan yang telah di daftarkan dengan Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia. Adakah semua klon-klon rambutan ini masih ujud atau sebahagiannya sudah pupus?... Perlu ada usaha untuk menjejaki dan menanam semua jenis klon rambutan yang telah didaftarkan oleh pihak tertentu bagi simpanan janaplasma dan sumber genetik rambutan.


Lazimnya pokok rambutan di Malaysia akan mengeluarkan bunga pada bulan Mac hingga Julai dan juga kadang-kadang dari bulan Julai sehingga November (off season). Bunga rambutan sering keluar selepas musim kemarau yang diikuti dengan hujan. Buah rambutan dihasilkan pada hujung tangkai atau hujung ranting yang berbentuk bulat bujur dan mempunyai rambut yang berukuran 0.6 - 1 cm.  Buah muda yang berwarna hijau akan bertukar merah atau kuning apabila masak. Tempoh masa buah dibentuk dari bunga hingga masak lingkungan 100-130 hari. Tempoh masak ialah selama 30 hari dari mula masak sehingga habis semuanya matang. Buah yang di tuai tidak tahan lama kesegarannya lingkungan 3-6 hari bergantung kepada cara mengendalikan, penyimpanan dan klon rambutan. Adalah dipercayai rambutan yang mempunyai bulu rambut yang lebih panjang agak tahan lebih lama kesegarannya.


Kenapa industri tanaman rambutan terus menjadi kurang popular?.... Banyak andaian untuk jawapan tersebut. Antara andaian nya ialah kerana faktur harga yang sangat tidak kompetetif akibat musim pengeluaran yang serentak dan kuantiti yang banyak. Musim tuaian cuma 30 hari sahaja setiap musim dan bulan Julai-Ogos merupakan kemuncak penuaian setiap tahun menyebabkan harga terlalu rendah sehingga RM 0.30 sen sekilogram sedangkan upah memetik setiap kilogram mencecah RM0.50. Itu sebabnya pada musim puncak banyak rambutan dibiarkan kering diatas pokok. Nak tunggu cucu petik pun tidak mahu kerana tidak meminati buah rambutan. Cucu sekarang lebih suka makan KFC, Big Mac, Apple Pie, Apple, Pear dan macam-macam lagi makanan segera. Bapanya pula jarang-jarang balik kampong musim buah-buahan. Ramai petani telah menukarkan pokok rambutan dengan kelapa sawit dan getah yang lebih menguntungkan.


Kajian saya di Daerah Baling, Kedah dengan AO Daerah iaitu Tn Hj Azmi mendapati ada satu syarikat tempatan (Anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah) membeli buah rambutan di Daerah Baling (Varieti Deli Baling) dengan harga RM 0.80 sekilogram. Katanya harga tersebut merupakan harga asas untuk kilang beroperasi dan tidak boleh lebih daripada itu untuk buah rambutan di proses dan ditinkan. Bayangkan kalau kos memetik sahaja sudah RM 0.50 sekilogram, pekebun rambutan cuma dapat RM 0.30 sekilogram sahaja. Kalau sekali petik dapat jual 500 kg cuma dapat hasil jualan RM 150.00 sahaja satu pokok semusim setahun. Kalau di tolak kos baja, racun rumpai, merumput, cantasan dan lain-lain apa yang tinggal?


Masa depan tanaman rambutan memerlukan kaedah lain untuk diteruskan penanamnanya agar tidak pupus. Satu perancangan teliti untuk meningkatkan produktiviti dan klon yang sesuai untuk pasaran ekspot serta domestik perlu di tanam. Kajian analisa kos pengeluaran dan pendapatan bagi rambutan mendapati harga titik pulang modal pengeluaran rambutan tahun 2011 adalah sebanyak RM 1.29 sekilogram. Dibawah daripada harga tersebut maka petani akan mengalami kerugian. Kajian juga menunjukkan dari tahun pertama sehingga tahun ke 5, petani masih tidak dapat apa-apa pulangan pendapatan. Purata wang timbunan kos pengeluaran juga hanya dapat balik selepas tahun ke 13 penanaman rambutan. Kadar B/C Ratio adalah RM 1.16 dengan kadar IRR pada nilai 4% iaitu kadar yang sangat rendah.


Jika ada program rambutan untuk ekspot harga ladang sepatutnya tidak kurang dari RM 1.50 dimana saya kira paling sesuai pada harga RM 2.00 sekilogram. Petani sanggup rasanya menghasilkan rambutan berkualiti Gred A jika pasti  dapat jaminan pasaran dan jamian harga minima dari pembeli. Pokok-pokok lama dan pokok rambutan terbiar boleh di pulihkan semula jika ada program pembangunan buah rambutan oleh pihak tertentu. Sesungguhnya buah rambutan yang berasal dari Malaysia mengalami nasib yang merudum di negara sendiri. Buah-buah impot dari kawasan 'temperate' pula yang mendominasi pasaran buah-buahan tempatan di Pasar Malam, Pasar Buah, Pasar Tani dan apa lagi di Hypermarket. 
Kenapa Rambutan?......




MAKAN BUAH....PILIH RAMBUTAN....
POKOK BANYAK...MACAM HUTAN...
HARGA RENDAH...UNTUNG KURANG...
ADAKAH NADIR...ANDA TENTUKAN...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan P11/D26, Pct 11, 
Putrajaya, WP
Malaysia
(Kemaskini pada 30 April 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...