Support My Blog

Tuesday, July 20, 2010

ULAM RAJA

PENGENALAN
Ulam Raja (Cosmos caudatus) merupakan sejenis ulam dari famili Compositae yang popular di Malaysia di samping ulam-ulaman lain seperti Tenggek Burung, Jering, Petai, Daun Cekur, Timun, Terung Lalap dan sebagainya. Ulam raja juga di panggil dengan epbagai nama di negara lain iaitu King Salad, Cosmos, Kenikir ; Randa midang (Indonesia), Ulam Raja ; Intan Berayun; Pelampong (Malaysia) ; Cosmos ; Turay-turay; Onwad (Filipina), Daoruang khana; Kkamhae (Thailand). Ulam Raja juga ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan berwarna warni. Kebanyajan ulam raja di tanam dalam pasu keliling rumah untuk kegunaan sendiri tetapi petani komersil menanamnya dalam kebun. Tidak ada angka rasmi keluasan tanaman ulam raja di Malaysia tetaapi penulis mengganggarkan sekitar 140 - 175 hektar. Artikel ini ditulis sebagai berkongsi pengetahuan berkaitan tanaman ulam raja berdasarkan pengalaman penulis sebagai pegawai pertanian dan membuat banyak rujukan dari buku-buku teknikal dan maklumat dalam laman web.


Ulam Raja biasanya ia boleh tumbuh hingga mencapai 2 meter tingginya. Tumbuhan ini sesuai ditanam di semua jenis tanah dan ketinggian yang paling sesuai untuk pertumbuhannya ialah pada 200 meter dari aras laut. Ia membiak melalui biji benih yang dihasilkan selepas bunganya matang. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Amerika latin tetapi boleh didapati tumbuh secara liar disemua negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Kajian dimakmal menunjukkan yang ulam raja mengandungi 0.3 peratus protein, 0.4 peratus lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.


Kandungan zat permakanan bagi 100 gram ulam raja mengikut pembacaan saya dripada buku "Vegetables in South East Asia : PROSEA" yang diterbitkan pada 1995 mengandungi 93 gram air, Karbohiderat (04 g), Lemak (0.4 g), Serat (1.6 g), Ash (1.6 g), Ca (270 mg), Vitamin A (0.9 mg) dan tenaga cuma 70 Kilojoule. Daun ulam raja merupakan bahagian yang di makan sama ada segar atau di celur untuk dimakan walau pun ada yang kata macam bau minyak tanah (turpentine) atau 'Langu' kata orang Jawa Muar. Dipercayai ulam raja akan membersihkan darah dan menguatkan tulang siapa yang sering makan sebagai ulam. Dari segi pertanian tanaman ulam raja dapat mengawal pertumbuhan lalang (Imperata cylindrica) didalam kawasan kebun.



PENANAMAN

Benih ulam raja dari pokok yang matang dan kering ditabur diatas tanah dalam pasu atau pun diatas batas di dalam kebun. Pastikan tanah telah diberikan baja organic dan baja asas. Siram sehingga benih tersebut tumbuh dengan air bersih. Biasanya benih akan tumbuh dalam 7-10 hari selepas ditabur dan buat penjarangan jika terlalu padat. Disyorkan jarak antara pokok ulam raja antara 1-2 kaki. Tanaman dalam pasu sesuai untuk 1-2 pokok sahaja. Baja NPK 15:15:15 sebanyak 10-20 gram sesuai ditabur pada umur pokok 2 bulan. Bagaimanapun baja organic adalah lebih sesuai digunakan.



PENJAGAAN
Tanaman ulam raja tidak banyak musuh dan penyakit kerana daunnya yang pahit. Antara serangga yang kadang-kadang dijumpai seperti kupu-kupu yang singgah untuk hinggap pada bunga ulam raja yang berwarna warni. Pokok ulam raja yang dijaga dengan baik boleh dituai dengan memotong pucuk muda lepas 3-4 minggu penanaman. Pucuk sepanjang 4-6 inci dipotong dengan tangan atau pisau dan dibasuh sebelum dimakan sebagai ulam. Tunas baru akan tumbuh semula dan boleh dituai lagi lepas 5-7 hari. Kaedah penjagaan yang mudah dengan siraman air dua kali sehari akan menjadikan pokok ulam raja mudah membiak dan membesar dengan cepat. Ianya boleh dijadikan sumber sayuran atau ulaman seharian.. HASIL Sepokok ulam raja mampu menghasilkan antara 50 – 70 gram pucuk muda bergantung kepada kesuburan tanaman dan penjagaan yang dijalankan. Harga jualan di pasar sekitar Muar dan Melaka adalah lingkungan RM 1.00 satu ikat iaitu berat kira-kira 100 – 150 gram. Pucuk ulam raja tahan jika disimpan dalam peti sejuk sehingga satu minggu jika dimasukkan didalam plastik. Walau pun ulam raja senang ditanam tetapi ramai masih membelinya kerana mudah dan murah.



KHASIAT
Ulam raja digunakan dalam perubatan tradisional kerana khasiatnya yang dikatakan dapat mencuci darah dari bahan toksik dan juga dapat menguatkan tulang. Kajian juga mendapati bahan kimia Klorofom yang diekstrak dari daun ulam raja mengandungi costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine yang dikatakan dapat merencatkan aktiviti sesetengah bakteria dan fungus seperti candida albicans dan Bacillus subtilis dan juga E.coli. Ulam raja biasanya dimakan mentah terus dan jarang-jarang di masak atau dicelur. Cara ini dapat mempastikan khasiat ulam raja masih segar dan original.



POTENSI
Penanaman ulam raja adalah digalakkan sebagai tanaman ulam-ulaman keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Program Bumu Hijau banyak membantu penduduk kawasan taman perumahan menanam ulam raja dalam polibeg atau dalam pasu. Tanaman ini juga sangat sesuai ditanam didalam pasu sekiranya anda tinggal dirumah bertingkat seperti flat atau apartment . Walau pun nama ULAM RAJA diberikan kepada tumbuhan ini tetapi ramai generasi muda tidak menyukainya. Kempen makan ulam-ulaman kepada generasi muda perlu diteruskan dengan lebih aktif. Wasallam!

JENIS ULAM…PILIH ULAM RAJA…
NAMA DIBERIKAN... MAKAN TERUJA…
DITANAM…HASIL KELUAR SENTIASA….
KHASIAT TERJAMIN…. DI HOTEL ADA…

By
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Pertanian Putrajaya,
Precint 15, Putrajaya,
Malaysia.
Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...