Support My Blog

Saturday, July 24, 2010

MENGKUDU (Noni)

Pokok Mengkudu (Morinda citrifolia) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rubiaceae yang pernah menjadi satu lagenda kepada penduduk dunia kerana kemampuannya untuk menjadi makanan kesihatan yang menakjubkan. Pokok mengkudu juga dikenali dengan nama Great morinda, Indian mulberry, Dunaakai (Tamil Nadu, India) , Dog dumpling (Barbados), Mengkudu (Malaysia), Beach mulberry, Cheese fruit or Noni (Hawaiian). Tetapi kini telah tersebar dikawasan tropika seluruh dunia.

Saya terlibat dengan projek penanaman mengkudu dan juga menanam mengkudu dekat rumah ketika bertugas di Mersing dan Segamat pada tahun 1990’an. Setelah beberapa tahun berlalu… apa dah jadi dengan industri penanaman pokok mengkudu sekarang… Dulu satu ketika, orang ramai berebut-rebut nak cari benih mengkudu dan menanam mengkudu kerana dikatakan harga mahal dan keajaiban khasiat Mengkudu! Mereka menebang getah tua di Segamat dan menanam mengkudu dan mendapatkan bantuan teknologi mengkudu dari Jabatan Pertanian.

Habitat asal pokok mengkudu adalah dikawasan hutan yang ada teduhan atau kawasan tepi kebun. Pokok mengkudu boleh tumbuh dengan kadar 0.75-1.5 meter setahun dan mula perlahan setelah pokok matang. Pokok menkudu boleh tumbuh dikawasan bermasaalah dan akan berbuah sepanjang tahun. Kaedah pembiakan mengkudu juga mudah melalui keratan batang, biji benih dan keratan akar. Kaedah menyemai biji benih paling mudah dan lazim dijalankan kerana mudah untuk dapatkan biji benih dari buah yang masak. Kutip buah mengkudu yang besar dari pokok yang banyak hasil dengan daun yang lebar. Keluarkan biji dan rendam dalam air bersih. Maklumat yang saya baca mendapati terdapat kira-kira 40,000 biji setiap kilogram biji mengkudu dengan kadar percambahan sehingga 90% kejayaan.

Semai benih mengkudu dalam polibeg dan setelah ada 4-5 helai daun atau 1-2 bulan biarkan terdedah kepada cahaya matahari perlahan2. Benih berumur 24-36 minggu sesuai ditanam diladang dengan jarak tanaman 18 kaki x 24 kak atau mengikut kesesuaian jika di kawasan dusun atau dibawah tanaman kelapa. Buat lubang penanam dan masukkan baja asas serta baja MOP untuk peringkat awal. Pokok mengkudu akan matang dalam masa 18 bulan selepas ditanam. Sebanyak 4-8 kg buah mengkudu sepokok sebulan boleh dituai sepanjang tahun. Daripada pemerhatian saya pokok mengkudu mampu tumbuh sehingga ketinggian 9 meter jika tidak dibuat cantasan. Jika pokok dibiarkan tinggi buah yang tua dan ranum akan gugur dan pecah dan sukar untuk menuai.


Pokok mengkudu berbunga sepanjang tahun dan buah yang masak akan mengeluarkan bau yang kuat jika jatuh. Bentuk buah adalah oval dan berwarna hijau ketika muda dan bertukar kuning keputihan apabila matang dengan saiz antara 4-8 cm panjang. Buah mengkudu banyak mengandungi biji, Walau pun baunya kuat tetapi jarang-jarang manusia makan segar buah mengkudu… ianya perlu diproses untuk dijadikan makanan kesihatan. Ada setengah petani menggoreng biji mengkudu untuk dijadikan makanan tetapi di Malaysia jarang dibuat. Terdapat sejenis semut yang suka tinggal dan buat sarang pada daun mengkudu dan ini mengurangkan serangan serangga perosak.

Buah mengkudu mempunyai banyak khasiat. Kajian saintis mendapati setiap 100 g buah mengkudu serbuk mengandungi 71% karbohidrat dan 36% Serabut (fiber), 5.2% protein dan 1.2% lemak. Kajian juga mendapati terdapat pelbagai unsur mikronutrient seperti 9.8 mg vitamin C (1200 mg), 0.048 mg niacin (vitamin B3), 0.02 mg zat besi (iron) dan 32.0 mg potassium. Vitamin A, Kalsium dan Sodium. Dalam jus mengkudu juga mengandungi vitamin C sebanyak 33.6 mg per 100 g jus. Kandungan lain seperti phytochemicals termasuk lignans, oligo- dan polysaccharides, flavonoids, iridoids, fatty acids, scopoletin, catechin, beta-sitosterol, damnacanthal dan alkaloids.

Buah mengkudu didakwa mampu mengelak dan menyembuhkan kanser dan menyihatkan tubuh manusia. Terdapat pelbagai produk jus mengkudu dipasaran dalam pelbagai bentuk. Paling popular adalah dalam bentuk jus atau cecair yang dulu dijual dengan harga RM 80 – RM 100 untuk 250-300 liter/sebotol. Walau pun sungguh mahal tetapu masa itu semua ‘Crazy’ tentang jus mengkudu. Banyak jus yang diimpot dari USA dan Hawai selain dari banyak syarikat tempatan yang mengeluarkan produk mengkudu untuk kesihatan. Saya pernah beli dan guna tetapi kini sudah tak beli lagi…

Daun hijau , bahagian akar dan rizom mengkudu juga didakwa mampu mengawal masaalah sengugut wanita dan membersihkan saluran kencing. Batang pokok mengkudu mengeluarkan pewarna yang boleh digunakan untuk mencanting baju batik iaitu warna kekuningan yang cantik. Kajian mengenai biji mengkudu yang dibuat mendapati ianya mengandungi asid Linolik yang sangat baik untuk kulit manusia. Telah hampir 14 tahun dulu tanaman mengkudu menjadi ‘kegilaan’ petani di seluroh Malaysia dan dunia… kini masih ramai petani yang masih mempunyai pokok tersebut di kawasan kebun dan ramai telah tebang juga.

Teknologi tanaman mengkudu masih sesuai dan usahawan memproses buah mengkudu masih ada dan aktif lagi. Mungkin pada masa akan datang satu kaedah yang sesuai untuk usaha penanaman mengkudu dari mula pengedaran benih, menanam, penjagaan, penuaian, penggreddan, penjualan, kawalan harga, pemprosesan dan pengedaran produk perlu dikukuhkan.

ADA TANAMAN…. DINAMAKAN MENGKUDU….
DIPANGGIL BUAH NONI… DITANAM BERIBU-RIBU…
DULU ‘HAVOC’…. KINI DAH MACAM BEKU….
HARAP DIMAJUKAN….DIJADIKAN PRODUK BARU….


By,
M Anem
P11 Putrajaya
(Julai 2010)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...