Support My Blog

Sunday, July 4, 2010

Keladi Mawar

Kebun Keladi Mawar kepunyaan Pak Harun di Tiang Dua, Melaka.


Keladi (Collocaasia esculenta) merupakan satu tanaman kategori tanaman kontan di Malaysia yang ditanam untuk kegunaan segar dan proses. Penanaman keladi di Malaysia pada tahun 2006 cuma seluas 605 hektar dengan pengeluaran sebanyak 5,948 mt telah meningkat kepada 670 hektar pada tahun 2009 dengan penghasilan sebanyak 4,520 metrik tan. Kawasan utama tanaman keladi di Malaysia ialah di Daerah Kota Tinggi Johor (303 hektar - 50% keluasan di Malaysia) diikuti Daerah Muar Johor (41 hektar) dan Kuala Langat Selangor (22 hektar) pada tahun 2009. Terdapat keladi yang digunakan untuk di proses seperti dibuat ais kerim, kerepek dan juga keladi sayur.

Keladi Mawar merupakan antara jenis keladi yang popular di kawasan sekitar Johor Utara dan Melaka. Baru-baru ini penulis membuat lawatan teknikal mengkaji teknologi penanaman Keladi Mawar di Kebun Pak Harun (Harun bin Ahmad) di Kg Tiang Dua, Melaka Tengah. Pak Harun telah menanam keladi Mawar selama 8 tahun setelah berhenti dari bekerja kilang di Bandar Melaka dan kini merupakan usahawan dan pengeluar utama keladi mawar di Negeri Melaka (Lihat foto Pak Harun di bawah dengan saya). Beliau belajar menanam keladi mawar dari bapa mertua dan beberapa petani di sekitar Tangkak, Muar .

Keladi Mawar merupakan sejenis keladi yang bersaiz besar (Lihat Foto diatas) dengan kebanyakannya untuk tujuan di Goreng atau dibuat kerepek. Menurut Pak Harun keladi ini sangat sedap untuk digoreng dan menerima permintaan yang meluas dari penjual pisang goreng, keledek goreng serta keladi goreng sekitar Bandar Melaka. Cara goreng terbaik dengan menggunakan "DEEP VACUUM FRYING". Berat sebiji keladi mawar dari 2.5 kg - 3.5 kilogram. Kawasan kebun Pak Harun merupakan kawasan tanah gambut sederhana dalam yang juga ditanam dengan ubikayu, pisang, sayuran kampong dan juga keledek. Beliau kini merancang kawasan seluas 20 ekar untuk ditanam dan 8 ekar lagi dalam proses penyediaan kawasan.


Benih keladi mawar yang asal di perolehi dari petani Kg Solok Tangkak, Johor dibeli dengan harga RM 0.40 - RM 0.60 sen satu sulur pada tahun 2003 sebanyak 3,000 sulur dan ditanam dengan jarak 0.5 meter x 2.0 meter. Beliau kini juga merupakan pengeluar benih keladi mawar. Dikira dari kepadatan tanaman satu hektar adalah sebanyak 6,000 - 10,000 pokok bergantung kepada kaedah penanaman. Dulu Pak Harun menanam dengan cara menuggal iaitu membuat lubang kemudian masukkan sulur keladi mawar. Kini cara tanaman dengan membuat lubang dengan cangkul dan benih dimasukkan kemudian di timbus dan dibuat busut. Pak harun boleh dihubungi dengan HP 013-6802685 jika ada yang nak bekalan benih atau keladi mawar.

Mmenurut Pak Harun kaedah menggunakan Tanah Gambut Bakar merupakan satu kemestian dalam penanaman keladi mawar seperti amalan oleh orang-orang tua2 dulu. Setelah keladi ditanam selama satu bulan, baja Urea di bancuh dan disiram keliling pokok keladi mawar. Penggunaan baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 200 gram ditabur selapas 2.5 bulan keladi ditanam. Pada minggu ke 10 (3.5 bulan) baja MOP ditabur sebanyak 200-250 gram setiap pokok. Tanah gambut di kebun Pak harun sesuai untuk tanaman keladi mawar.


Antara musuh tanaman keladi mawar adalah serangan serangga penghisap daun terutama pada musim panas. Pak Harun menggunakan larutan Bawang Putih untuk kawal serangga ini. Daun yang diserang dan kering akan dikumpul dan dibakar. Kesan serangan menyebabkan daun akan menjadi kering dan mengakibatkan pembentukkan keladi terjejas. Kejadian ini juga menyebabkan umbisi keladi menjadi 'Pinggang" dibahagian tengah dan kualiti buah akan rendah. Pokok keladi mawar membentuk buah dari bahagian bawah keatas oleh oleh itu pangkal pokok perlu dinaikkan tanah agar pembentukan buah menjadi besar.

Keladi mawar pak Harun di tuai selepas 6.5 - 7 bulan selepas ditanam. Kelewatan menuai selepas 7 bulan akan menyebabkan kualiti buah menurun dimana kejadian buah terlalu matang akan menyebabkan keladi menjadi keras (Dalam bahasa Jawa ialah "Ganyot"). Keladi mawat dijual dengan 2 gred iaitu Gred A dan Gred B. Keladi Gred A dijual dengan harga RM 3.50 sekilogram dan Gred B dijual dengan harga RM 3.00 sekilogram. Purata penghasilan Keladi Mawar bulanan Pak Harun sekitar 600 -700 kilogram atau pendapatan kasar sebanyak RM 1,800 - RM 2,200 sebulan. Beliau dibantu oleh 6 orang ahli keluarga dalam menjalankan penanaman keladi mawar. Penanaman keladi mawar perlu di galakkan di Malaysia.

PAK HARUN ....SUKA TANAM KELADI....
KELADI MAWAR ... DITANAM PASTI JADI....
KAEDAH MODEN...DIGABUNG CARA TRADISI....
KALAU DIGORENG ... RASA SEDAP DAH PASTI...
KELADI MAWAR...PERLU DI PROMOSI...


By
M Anem
Pct 11
Putrajaya


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...