Support My Blog

Friday, July 2, 2010

Jambu Batu Lo Han (GU16)


Jambu Batu Giant yang sangat populr masa kini di pasaran.
Jambu Batu (Psidium guava) yang ditanam di Malaysia terdiri dari jenis berbiji dan jenis tidak berbiji (seedless). Jambu batu berbiji yang popular di tanam adalah dari jenis klon GU 8 (Nama lain Jambu Kampuchea), Klon GU 9 dan Klon GU 10 manakala untuk jenis seedless dari jenis GU 15. Kini terdapat satu jenis jambu batu baru yang di panggil dengan "Jambu Batu King" atau "Jambu Batu Giant" atau "Jambu Batu Lo Han". Varieti jambu Batu Lo Han telah didaftarkan dengan Nama Varieti Lo Han dan nombor Pendaftaran GU16 pada March 2013 didalam National Listing Jabatan Pertanian oleh pemiliknya iaitu Encik Teo Lai Meng berasal daripada Bt 4, Bukit alam, Jalan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Jambu ini telah pertama sekali dipamerkan pada HPPNK Negeri Johor pada tahun 2009. Penulis telah melawat banyak kebun tanaman jambu batu ini di Negeri Johor dan Negeri Melaka semasa membuat lawatan pemeriksaan kebun dan mendapatkan pandangan dari petani serta teknologi yang diamalkan bagi menanam jambu batu ini. Rasa buah jambu batu lohan lebih 'Crispy' daripada jambu batu klob GU7 dan lebih 'juicy'. saya memang amat suka akan buah jambu Lo Han yang baru ini dan dapat membezakan dengan baik serta percaya ramai pengguna akan beralih kepada varieti baru ini. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti baru jambu batu Lo Han (GU16) yang sangat popular masa kini di Malaysia iaitu Jambu batu Lo Han untuk bacaan dan rujukkan anda.

Petani yang di temui ialah En Bong (Foto sebelah) dan En Chan Teng Sai yang merupakan antara pelopor penanaman Jambu Batu Lohan di Melaka. En Bong menanam seluas 8 ekar (2,800 pokok) yang telah berumur 9 bulan sementara En Chan menanam 5 ekar (500 pokok - penanaman yang jaraknya jauh) berumur 2 tahun. Benih tanaman jambu ini di perolehi dari pembekal dan penanam di Batu Pahat Johor (Pelopor Jambu batu Giant) dengan harga RM 8.00 – RM 9.00 sepokok. Benih yang dibeli adalah benih yang di tut dalam polibeg dimana petani terpaksa menunggu lama untuk dapatkan benih tersebut. Buah Jambu Batu Giant/ Lo Han ini mempunyai bentuk yang sama dengan Jenis GU 8 (Kampuchea) ketika putik tetapi apabila matang buah akan berbentuk bulat dan seperti buah epal iaitu ada lekukkan di bahagian tangkai. Anggaran berat purat adalah 600 gram - 1.0 kg sebiji. Bagaimana pun ia bergantung kepada kaedah pengurusan kebun dan aktiviti penjarangan buah serta pembajaan. Kawasan kebun kedua-dua petani adalah kawasan bekas tanah sawah yang dibuat batas dan mempunyai sistem bekalan air menggunakan sistem banjir (Flooding system). Batas-batas tanaman dibina setingga 1-2 kaki dan lebar 2 meter (6-7 kaki). Jarak tanaman atas batas ialah 10-12 kaki bergantung kepada bentuk batas. Peringkat awal sistem sprinkler dipasang untuk bekalan air musim panas menggunakan sprinkler head 20 kaki diameter. Keperluan air adalah kritikan dalam penanaman jambu batu untuk mempastikan pembentukkan buah yang dikehendakki.

Pemerhatian saya mendapati pokok jenis ini mempunyai sistem dahan yang landai dan sentiasa mengeluarkan bunga walau pun tidak dicantas seperti jenis GU 8. Dua kuntum bunga keluar pada setiap dahan dengan jarak buah adalah 1-2 kaki. Cantasan dilaksanakan pada peringkat awal sahaja iaitu cantasan pembentukkan. Sehingga 2 tahun En Chan tidak banyak buat cantasan pucuk kerana pertumbuhan yang sederhana lambat. Pemasangan tiang sokong dibuat terhadap pokok yang berbuah sangat lebat dengan kayu beruti 2"x4" pada dahan.


Pokok yang berumur 2 tahun mengeluarkan 40-50 biji 
sepokok dan cara sistem banjir.

Petani menggunakan baja Impot jenis Yara Miles dan mendakwa baja tersebut sangat sesuai untuk buah-buahan seperti jambu batu. Penggunaan Baja Foliar dan baja Organik digunakan dengan kadar disyorkan. Pengapuran dibuat mengikut jadual 6 bulan sekali. Musuh tanaman ialah serangan lalat buah (Bactocera spp) dan pemasangan perangkap pheromon di letak keliling kawasan kebun. En Chan tidak mahu pasang Perangkap yang menggunakan Methyl Eugenol kerana katanya benda tersebut mengundang banyak lagi lalat Buah ( Bactocera spp) yang datang kekawasan kebun. Kedua-dua kebun memelihara anjing untuk menjaga keselamatan (Menyalak apabila ada orang datang) dan elakkan kecurian dari penduduk tempatan dan juga elakkan kedatangan dan serangan monyet.


Putik buah sebesar telur ayam akan di sampul dengan kertas suratkhabar lama dan lapisan plastik jernih . En Bong membungkus dengan cara lain iaitu kertas suratkhabar diluar . En Chan ikut teknologi biasa iaitu kertas suratkhabar didalam. Saya menasihatkan En Bong ikuti cara En Chan yang betul. Cantasan pembentukkan dibuat dengan cara "Open centered" untuk pastikan sebaran cahaya metahari. Putik buah keluar dari dahan di bawah (pokok muda) dan dibalut.

Buah dipetik apabila matang iaitu 4 bulan selepas di balut dengan pisau tajam. Buah di bersihkan dan digredkan mengikut saiz, rupa bentuk, kecacatan dan keseragaman. En Bong membalut buah dengan "polystyrene netting' (Lihat gambar) dan dihantar ke supermarket (Dijual di TESCO/ Giant/ JUSCO pada harga RM 6.99 sebiji).Penjualan secara borong (70%) dibuat setelah setelah buah digredkan dan dihantar ke Pemborong di Pekan Krubong, Melaka. Harga Jualan Borong mengikut Gred iaitu Gred AA (RM 4.00/kg) , Gred A (RM 3.00/kg ) dan Gred B (RM 1.00/kg) dan Gred C tidak dijual. Penghasilan sehingga kini menunjukkan kadar Hasil Gred AA dan A ialah sebanyak 40% sementara Gred B (50%) dan Gred C (10%). Kajian mendapati En Bong menghasilkan sebanyak 3,000 kg sebulan dan jika purata harga RM 4.00 /kg bermakna pendapatan kasar sebanyak RM 12,000 sebulan (Pokok baru 9 bulan). Encik Chan pula mengeluarkan sebanyak 15-20 tan sebulan dengan purata harga RM 4.50 iaitu pendapatan kasar sebanyak RM 67,000 - RM 90,000 sebulan!...
Tanaman jambu bary Lohan merupakan satu komoditi baru yang boleh dikembangkan di Malaysia dengan jayanya pada masa akan datang untuk pasaran domestik dan ekspot.


JAMBU BATU.. JENIS JAMBU BATU LOHAN...
BUAH BESAR...TENGOK TAK BOLEH TAHAN...
POKOK SUBUR...BAJA MESTI DI TABURKAN....
HASIL TINGGI...BENIH JADI REBUTAN....
KERJA MANYAMPUL....MESTI DIJALANKAN....
BAJA IMPOT MAHAL....HASIL LUMAYAN.....


By
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Baru, Bukit Rambai,
Melaka Tengah,
Melaka
(Kemaskini artikel pada 31 oktober 2013)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...