Support My Blog

Saturday, July 17, 2010

Dusun Kg Dingin

Penulis dan rakan2 bersama petani di Dusun Limau Madu Kg Dingin, Kulim, Kedah.


Kg Dingin di Daerah Kulim, Kedah merupakan sebuah kampong yang aman dan damai dimana terdapat tanaman getah (Hevea spp) dan kelapa sawit (Elaeis guineensis) sebagai tanaman utama. Terdapat projek tanaman sayuran dan kontan di kawasan perkampongan KEDA iaitu laluan jalan masuk ke Kg Dingin. Tanaman seperti jagung, sayuran jenis buah (Timun, Petola, bendi) didapati hidup subur di kawasan tersebut. Terus masuk kedalam Kampung Dingin Kumpulan kami bertemu dengan Encik Fakrurazi Che Din dan Encik Mutalib Che Din untuk membuat tinjauan teknologi dusun buah-buahan di Kg Dingin, Daerah Kulim, Kedah. Tanaman buah-buahan yang diusahakan oleh mereka ialah Pulasan (Nephelium mutabile) dan Limau Manis Madu (Citrus suhuensis - Klon M33).

Encik Fakrurazi (Gambar sebelah) menanam Pulasan (Nephelium mutabile) semenjak tahun 2002 dengan bantuan input oleh Jabatan Pertanian Kedah dan Bimbingan Khidmat Nasehat dari Pembantu Pertanian Kawasan iaitu Encik Asni. Terdapat sebanyak 250 pokok pulasan berumur 8 tahun yang ditanam dimana benih2 pulasan diperolehi dari Jabatan Pertanian dimana punca benih itu daripada Bahagian Horticulture Jabatan Pertanian Air Hitam ,Johor. Jenis pulasan yang ditanam ialah Jenis Ah Hock yang ditanam dikebun yang merupakan lereng bukit yang agak curam.

Kebun beliau mempunyai sistem pengairan renjis bantuan Jabatan Pertanian yang mengambil air sungai yang di pam naik kedalam tangki di puncak bukit. Setiap pokok dipasang 2 unit 'emitter' yang dipasang di kiri dan kanan pokok. Pokok pulasan merupakan jenis tanaman yang sangat kritikal dalam keperluan air ketika proses pembentukan buah pulasan. Kajian saya dibeberapa kebun di Johor dan Melaka mendapati kebun pulasan yang tiada sistem pengairan gagal menghasilkan buah yang diharapkan kerana banyak putik pulasan gugur dan tiada isi (Kempes/ Kosong). Penanam pulasan perlu faham masaalah pembentukkan buah pulasan yang banyak kempes akibat kekurangan air dan kurang baja organik selain daripada faktur cuaca. Kejadian 'Biennial Fruiting' juga berlaku pada tanaman pulasan dimana buah yang banyak pada satu musim dan musim berikutnya melawas.


En Fakrurazi menggunakan racun rumpai jenis Glyphosate untuk mengawal rumpai dan mesin potong rumput. Racun Kulat seperti Daconil, Dimex dsb digunakan mengikut keperluan. Lawatan saya kekebun menunjukkan Amalan Pertanian Baik dijalankan di kebun pulasan beliau. Kaedah cantasan yang dibuat perlu di perbaiki sedikit terutama terhadap pokok yang terlalu rimbun agar dibuat cantasan tengah (Open Centered). Terdapat tumbuhan parasit (Pokok Duit-duit) yang mula menyerang beberapa pokok yang agak rimbun dan beliau dinasihatkan untuk memusnahkannya kerana didapati sporanya mula merebak kepokok-pokok lain. Kaedah kawalan pokok parasit tersebut dengan cara manual iaitu membuang dengan tangan atau gunakan racun yang sesuai.

Musim lepas beliau menuai sebanyak 8 metrik tan buah pulasan iaitu daripada kira-kira 80% daripada pokok pulasan yang berbuah. Buah pulasan beliau di gredkan mengikut saiz dan kualiti iaitu Gred A (10 biji sekilogram) dan Gred B (14 biji sekilogram). Buah Gred A dijual dengan harga RM 5.00 sekilogram sementara buah Gred B dijual dengan harga RM 4.00 sekilogram. Peraih buah datang kekebun untuk membeli buah pulasan dari Kg Dingin. Pasaran buah pulasan disekitar Alor Setar, Pulau Pinang dan Perak Utara.


Tidak berapa jauh kebun Pulasan En Fakrurazi terdapat Dusun Limau Madu varieti M33 kepunyaan abang beliau iaitu Encik Abd Mutalib (Gambar sebelah) seluas 4 ekar. Pokok limau madu beliau telah berumur 10 tahun dan masih menghasilkan buah yang berkualiti. Beliau mendapatkan benih limau madu dari Johor pada tahun 2000 dan mampu bertahan sehingga kini. Saya kagum dengan kerajinan En Mutalib yang menjaga kebun Limau Madu dengan Amalan Pertanian Baik serta keadaan kebun yaang bersih.

Kawalan rumpai dibuat dengan cara memotong rumput menggunakan mesin pemotong rumput dan semburan racun kimia dikawasan pinggir kebun. Sistem pengairan titis dipasang setiap pokok kerana musim kering dikawasan ini adalah kritikal pada bulan Januari, Febuari dan Mac setiap tahun. Kawalan serangan serangga dan kulat dijalankan dengan menggunakan racun dan amalan kultura. Baja NPK 12:12:17:2 TE dan baja Organik dengan kandungan NPK 8:8:8 digunakan selain daripada baja tahi kambing (1-2 kg sepokok). Kemasaman tanah telah diperisa dengan pH antara 3.5 - 4.5 pada bulan lepas dan disyorkan agar pengapuran dibuat didusun tersebut.

Cantasan pembentukan dan kawalan penyakit sentiasa dijalankan setiap masa. Mana-mana dahan yang kering dan tunas tidak sesuai akan dipotong dan dibakar. Buah-buah limau yang rosak dan gugur sentiasa di kutip dan dimusnahkan ungtuk elakkan jadi perumah (host) kepada Seramgga Lalat Buah dsb. Terdapat beberapa pokok yang telah diserang Kanker (Phytium spp) dan dikawal dengan acun Ridomil dan pokok sekitarnya sentiasa diawasi. En Mutalib sangat faham bagaimana uuntuk mengawal penyakit kanker. Tanaman limau madu baru bertanam berumur satu tahun seluas 2 ekar di pastikan agar cantasan dan kawalan penyakit dapat dikawal dengan sempurna.


Musim lepas (Januari hingga Jun 2010) sebanyak 7,000 kg limau madu dari dusun abd Mutalid dapat dituai dan dijual kepada peraih dan jualan terus dengan harga Gred A (RM4.00 /kg), Gred B (2.00 sekilogram) dan Gred C (RM 1.00 sekilogram). Penanaman limau madu di Dusun Kg Dingin ini merupakan satu contoh projek tanaman limau madu yang berjaya di Kedah kerana dapat bertahan sehingga 10 tahun. Tidak ramai petani bumiputra yang mampu menjaga kebun limau madu seperti Encik Mutalib. Katanya "Pokok limau perlu sentiasa di dampingi dan diperiksa setiap hari....seperti juga kita menjaga keluarga kita...baru boleh berjaya"...
Kg Dingin di Kulim ini merupakan sayu contoh dimana tanaman buah-buahan seperti Pulasan dan Limau Madu M33 boleh dikomersialkan dan mendapatkan pendapatan lumayan kepada petani.



KG DINGIN...ADA DUSUN BUAH....
POKOK PULASAN..DILERENG BUKIT....
TANAH SUBUR..KAMPONG BERTUAH....
LIMAU MADU...HASIL BUKAN SEDIKIT....
KG DINGIN...KG DINGIN...HUJAN...SEJUK!


By
M Anem
Kg Dingin
Kulim, Kedah
Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...