Monday, May 24, 2010

Petai


Petai (Parkia speciosa) merupakan sejenis tumbuhan dibawah keluarga Fabaceae atau Keluarga Leguminoceae yang tumbuh dalam hutan dan kini boleh ditanam sebagai tanaman yang boeh mendapatkan hasil. Petai juga di panggil dengan nama pete' (Indonesia), sator (Thailand), sataw, stink bean, yongchaa, yongchaak atau zawngtah dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Di Malaysia dahulu hanya orang Melayu sahaja yang memakan petai tetapi kini pelbagai bangsa lain seperti Cina, India atau Orang Putih pun mulai memakannya kerana khasiat yang ada pada petai. Buah Petai yang berwarna hijau memberikan bau yang kuat dan menyelerakan ramai peminat buah petai. Artikel kali ini "Anim Agro Technology" akan membincangkan teknologi tanaman petai berdasarkan kepada pengalaman penulis sebagai pegawai pengembangan pertanian banyak menjumpai pokok petai sebagai tanaman selingan dan telah juga memakan petai semenjak beberapa puloh tahun dulu.


Kaian dan pemerhatian saya mendapati terdapat beberapa spesis petai yang sesuai untuk di ketahui iaitu Parkia speciosa, Parkia timoriana, Parkia sumatrana, Parkia intermedia, Parkia harbesonii, Parkia serffeseei dan Parkia leiophylla. Selain daripada Parkia speciosa , didapati spesis Parkia timoriana adalah spesis yang banyak di tanam di Malaysia, Indonesia danFilipina kerana pokoknya yang sesuai di tanam dan mudah untuk diuruskan, buah yang banyak dan kualiti buah yang baik. Spesis Parkia sumatrana pula banyak di tanam di Thailand dan Myanmar dimana subur tumbuh dikawasan lereng bukit. Parkia intermedia hanya terdapat di kepulauan Jawa dan merupakan jenis petai lokal khususnya di Pulau Jawa.


Di Malaysia saya dapati bahawa cara penanaman petai merupakan perkara yang kurang di beri perhatian dimana aktiviti memetik petai hutan masih aktif dijalankan terutama di Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan beberapa negeri lain. Hasilpetai dipasaran kebanyakannya adalah hasil petai masih dikutip dari hutan berhampiran. Rekod mengenai keluasan penanaman petai di Malaysia yang saya rujuk dari buku statistik Jabatan Pertanian 2009 mendapati keluasan tanaman petai di Malaysia adalah 100.4 hektar dengan hasil sebanyak 388.82 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 214,000. Antara negeri yang banyak tanaman petai seperti di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Sarawak. Benih petai boleh didapati dari buah (pod) petai yang tua dan di semai dalam polibeg sebelum ditanam. Jarak penanaman pokok petai sekitar 10 meter x 10 meter bergantung kepada keadaan tanah. Harga benih petai di Nurseri di Muar lingkungan RM 6.00 - RM 12.00 bergantung kepada saiz dan belum ada varieti khusus petai yang didaftarkan di negara kita.

Petai mengandungi zat asid amino dan karbohiderat kompleks yang juga akan menyebabkan kencing berbau busuk jika makan petai dengan kuantiti sedikit apa lagi kalau dengan kuantiti banyak. Kajian dimakmal mendapati petai mengandungi 0.8183 % Lemak, 5.2% Protin, 2.06% Karbohiderat, 36,647 kalori, 4.18335 Vitamin C, 25.38% Air, 0.95% Abu, 22.30 Serat Kasar, 0.916 Gula, 1.35 ppm Kalsium, 842.45 ppm Kalium, 7.8 ppm Magnesium dan lain-lain asid lagi. Ada juga orang yang suka makan daun petai muda sebagai ulam yang ianya juga mempunyai bau seperti buah petai juga.  Saya paling suka makan petai dengan kulitnya sekali utuk mendapatkhan khasiat kulit petai yang mempunyai rasa pahit dan kelat. Kulit petai dipercayai mengandungi penawar daripada skit perut kerana makan terlalu banyak petai yang boleh menyebabkan kita tidak tanan buang air besar.


Pokok petai tumbuh menegak dengan batang kayu keras dan daun berwarna hijau seperti pokok petai belalang dengan ketinggian boleh mencapai sehingga 30 meter. Buah petai dalam bentuk papan yang ada biji petai (Beans) berwarna hijau muda. Bunga petai berjambak berwarna putih dan terbentuk dihujong dahan. Akar petai mempunyai akar tunjang. Pokok petai biji jika tidak dikawal dengan cantasan akan terlalu tinggi dan sukar untuk mengutip hasil Kini anak benih petai cantuman lebih rendah dan cepat mengeluarkan hasil. Elakkan menanam petai dikawasan yang kelilingnya pokok tinggi kerana pokok petai kita akan kurus dan tinggi juga akibat kurag pancaran cahaya matahari. Pengalaman penulis mendapati benih petai yang ditanam tanpa lindungan dan terdedah dikawasan lapang agak lambat membesar dan sering diserang perosak dan penyakit. Pokok petai sesuai ditanam dengan pokok pelindung seperti pisang dan buah-buahan lain diperingkat awal.

Pengalaman dan pemerhatian penulis juga mendapati , setiap 1 kilogram petai mempunyai sebanyak antara 13 - 15 papan petai dengan anggaran biji petai (beans) yang dikupas antara 2.5 - 3 kg sahaja. Petai biasanya dijual segar dengan harga borong di ladang atau secara runcit. Kajian yang saya buat  mendapati di sekitar Bandar ,Muar, Johor dan Melaka harga runcit petai lingkungan RM 2.00 - RM 3.00 untuk 3 papan atau purata lingkungan RM 1.00 satu papan (Bergantung kepada saiz dan jenis serta musim). Bagi petai yang agak panjang dan bermata besar, maka harga mampu mencecah RM 3.00 -RM 3.50 satu papan. Kebanyakan petai dimakan segar dengan mangupas kulitnya atau ada yang makan bersama-sama kulit petai. Terdapat industri mengekspot biji petai di Indonesia ke beberapa Negera seperti Arab Saudi, Malaysia, Singapura dengan harga RM 20.00 sekilogram bagi biji petai yang telah dikupas. Biji petai ini disimpan dalam jar atau bekas bersama air untuk pengekspotan.



Saiz buah petai panjangnya kira-kira 30-40 cm secara purata namun ada yang mencapai sehingga 52 cm panjang. Susunan mata biji petai berbeza-besa ada yang vertical dan ada yang horizontal berbanding dengan papan petai. Penulis merasa hairan ketika bertugas di Sarawak kerana menjumpai banyak biji petai yang vertical di Sarawak (Kebanyakkan petai di Semenanjung adalah Horizontal). Kajian mendapati berat biji petai lingkungan 60-80gm satu papan. Petai ditanam menggunakan biji benih dari buah petai yang cukup masak dengan menyemai dalam polibeg. Benih dari buah yang masak di potong2 ikut mata dan dimasukkan dalam polibeg semaian beberapa minggu lepas itu biasanya akan bercambah. Petai ditanam dengan jarak 10 meter x 15 meter dan sesuai ditanam dengan tanaman lain seperti pisang atau buah-buahan lain. Lubang untuk penanaman disediakan dan bubuh baja asas organik dan TSP serta baja 15:15:15. Pastikan kawasan mempunyai sistem saliran yang baik.

Bergantung kepada pengurusan dan jenis petai ditanam, petai biasanya mulai berbunga dan mengeluarkan hasil sepelas 3 - 4 tahun ditanam. Pembajaan disyorkan dengan baja organik (Tahi ayam) dengan baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 2-3 kg sepokok setahun. Kebanyakan hasil petai di Malaysia pada masa ini boleh dikatakan "Petai Organik" kerana jarang digunakan racun kimia dan baja kimia. Paling banyak petai berhasil pada tahun ke 7 hingga ke 12 dengan anggaran sebanyak antara 200 - 300 papan sepokok setahun. Temubual dengan pemungut hasi petai di Felda Nitar Mersing, Johor yang saya jalankan pada tahun 2000 (Masa itu saya adalah pegawai pertanian Daerah Mersing pun) mendapati penghasilan petai stabil sebanyak antara 1,000 - 1,100 papan sepokok setahun selepas pokok berumur 15-25 tahun. Pokok petai dalam hutan biasanya di'milikki' oleh pemburu petai yang regular dan kenal akan masa menuai dan mengutip hasil.

Pada zaman dahulu, pemungut petai akan memotong dahan pokok petai atau ada juga yang akan menebang pokok petai untuk mendapatkan hasilnya. Kini mereka sedar dan akan menjaga pokok petai tersebut dalam hutan dimana cara atau kaedah menuai hasil dengan cara memanjat pokok besama dengan tali atau pun mereka telah mula menggunakan galah panjang aluminium seperti pengait buah kelapa sawit. Petai yang dikait dan diturunkan akan di ikat dengan tali dan diturunkan perlahan-lahan kerana buah petai akan rosak jika terhempas ketanah dengan ketinggian sedia ada. Keupayaan dan kemampuan pemanjat petai untuk mendapatkan hasil menyebabkan harga petai tidak pernah jatuh. Saya pun ada sering mendengar kemalangan akibat ada  orang jatuh akibat menuai hasil petai (Kes di Hutan Nitar, Mersing 2008). Ini kerana kedudukan buah petai yang terletak dihujung dahan dan sukar dipetik dengan tangan dan pemanjat akan jatuh bersama dahan yang patah tersebut. 



Musuh utama buah petai ialah serangan Ulat Pengorek buah, Tupai, Monyet dan jelaga hitam. Proses pemdebungaan oleh binatang sperti kelawar dan sebagainya. Pada masa ini belum ada kajian ekonomi sebenar teknologi penanaman petai secara komersil dijalankan secara menyeluruh. Terdapat beberapa pokok petai yang ditanam bersama-sama buah-buahan lain seperti rambutan, durian, duku Johor dan pisang tetapi kadar pembungaan dan pengahsilan tidak menentu. Pokok yang ditanam kurus dan meninggi dan tidak rimbun seperti dihutan secara semulajadi.


Sambal petai yang enak.
Petai digunakan sebagai ulam dimakan terus atau di tumis manjadi 'Sambal Bilis Petai' yang sangat digemari di Malaysia. Sambal Bilis Petai disediakan dengan menggoreng bilis dahulu sebelum ditumis dengan cili boh sehingga masak dan akhir sekali dimasukkan dengan petai yang telah dikupas. Makan sambal bilis petai dengan tomyam merupakan satu menu kegemaran ramai sehingga kini. Terdapat beberapa petua untuk mengurangkan bau selepas makan petai seperti mengunyah beras atau makan beberapa jenis limau atau mimum jus yang dapat mengurangkan bau. Pastikan anda tidak kencing di tandas awam kerana bau urin anda akan mengganggu orang lain. Kalau anda ada mesyuarat resmi pun , anda kena elakkan daripada sendawa, kerana ianya akan menganggu ahli-ahli mesyuarat yang lain. Adalah agar anda disyorkan kencing terus diatas tanah dikawasan rumah di kampong untuk menambahkan kesuburan tanah!

POKOKNYA TINGGI.. ITU POKOK PETAI...

DIPANGGIL PAPAN....IA BERTANGKAI...
MAKAN SAMBAL... ITU SAMBAL PETAI....
SELEPAS MAKAN... KENCING BAU BANGKAI....


HENDAK MEMBELI ...PERGI KEPASAR.....
KINI MAHAL ... TIDAK BOLEH TAWAR...
BAIK MENANAM.... KENA BERSABAR...
TEKNOLOGINYA...PERLU DISELONGKAR.....


By,
M Anem

Senior Agronomist,Kg Pt Bengkok, Ledang, 
Muar, Johor,
Malaysia
(Kemaskini pada 11 Oktber 2012 dan 4 Jun 2013)

8 comments:

Tambosan said...

Pengemar petai memang adalah orang melayu sendiri, & orang asli Malaysia. Tetapi sekarang kaum cina sudah pun meminati. Hasil petai memang lambat berbuah berbanding dgn tanaman lain, & pokoknya pula tinggi menegak. Kebiasaannya pemilik hanya akan menanam beberapa batang saja samada dikebun ataupun dikawasan rumah iaitu dikampung. Hasilnya pula biasanya dikait mana yang dicapai saja. Ini saya perhatikan dikampung mertua saya pokok petai yang ketinggiannya melebihi 20 kaki. Satu hari nanti saya pasti akan ada orang yang akan komersialkan tanaman ini.

rizal ag said...

sy nk tanam byk2...tapak dh ada..huhuhu

M Anem said...

Disokong kepada rizal yang nak tanam petai banyak2....dapatkan nasehat dan teknologi yang betul agar petai berkualiti dapat dihasilkan ...Insyallah nanti akan jadi tauke petai....

Aminah Saad said...

Boleh cadangkan kepada pihak mana untuk saya dapatkan maklumat berkaitan pembekal anak pokok petai ni?

Terima kasih :)

nizamdin said...

pokok petai mati akibat diserang ulat pengorek batang,apa kah racun yang sesuai untuk mecegah nya.

M Anem said...

Serangan ulat batang pada pokok petai boleh dikawal dengan racun serangga sistemik seperti Furadan 3G yang ditabur dipangkal pokok dan jenis racun sistemik lain. Pastikan memberi racun ini semasa peringkat vegetatif dan elakknan dari mengguna 3-4 bulan sebelum buah petai dikutip.

chehollanne said...

salam...ingin bertanya... musim petai di sebetulnya bile erk??? kalo hjg jan ade x?? ade sape tahu tempat yg banyak menanam petai??

M Anem said...

Petai berbuah sepanjang tahun mengikut lokasi dan persekitaran. Petai walau pun ada musim puncak sekitar Jun - Oktober tetapi ada pada bulan Januari. Penanaman petai tiada maklumat rasmi dimana yang banyak tanam.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...