Thursday, December 3, 2009

Kangkung

Kangkung (Impomea reptans Poir) merupakan sejenis sayuran daun yang mudah ditanam dan diusahakan secara komersial atau tradisional oleh petani di Malaysia. Terdapat 2 jenis kangkung yang lazim ditanam di Malaysia iaitu Kangkung Darat (Impomea reptans Poir) Kangkung Air (Impomea aquatica Forsk) dari keluarga Convulvulaceae. Kangkung Darat adalah kangkong yang ditanam atas tanah darat yang tumbuh menegak dan diusahakan secara komersial sementara kangkong air adalah jenis kangkong yang tumbuh dalam kolam atau taliair yang menjalar. Kangkong merupakan satu jenis sayuran jenis daun yang popular ditanam kerana mempunyai pasaran yang besar. Pada tahun 1999 hanya terdapat seluas 1,425 hektar tanaman kangkong dan meningkat kepada 3,452 hektar pada 2010 dengan penghasilan sebanyak 124,543 mt bernilai RM 14.8 juta. Artikel ini memberikan maklumat mengenai teknologi tanaman kangkong khususnya di Malaysia berdasarkan buku teknikal dan pengalaman penulis sendiri. 


Kangkung Air (Impomea aquatica) yang mudah ditanam dalam kolam atau taliair atau kawasan lembab berpaya lazimnya mempunyai ruas-ruas batang yang mampu menjalar 2-3 meter (7-10 Kaki) dan boleh terapung diatas air kerana terdapat kandungan udara dalam ruas batang yang mampu mengapungkan kangkung atas permukaan air. Daun kangkung air berwarna hijau gelap dan agak lebar dan terdapat ruas diantara batang. Bunga kangkung bulat berwarna putih dan ditengahnya keunguan. Kangkong Air tidak mempunyai varieti khusus yang didaftarkan mahu pun di syorkan untuk penanaman kerana kangkong air tumbuh liar secara semulajadi. Kajian yang saya jalankan mendapati kangkong air adalah antara jenis sayur yang mempunyai Kandungan Sisabaki Racun (MRL) yang tinggi dan merbahaya untuk kesihatan terutama yang tumbuh dalam kolam dalam kebun sayur yang mengandungi kadar air tercemar akibat pengumpulan baja toksik dan racun kimia dari bahagian atas kebun sayur yang tidak dikawal.  (Bunga Kangkong Lihat foto disebelah).
                                                                                                

Kangkung Darat yang ditanam diatas batas merupakan kangkong komersil dan mempunyai pasaran yang sangat baik. Beberapa varieti Kangkong Darat adalah seperti Kangkong Siam (S141), Kangkong Daun Lebar (K25) dan Kangkong Daun Buloh. Beberapa jenis kangkong yang baru ada di pasaran dan belum didaftarkan lagi. Penanaman dimulakan dengan tabur benih yang berbentuk bulat dengan warna coklat kehitaman dan apabila tumbuh dijalankan kerja-kerja penjarangan (thinning). Keperluan benih kangkong adalah sebanyak 30 kg sehektar atau pun sebanyak 40-45 gram bagi satu batas yang berukuran standard tanaman kangkong iaitu 1.2 meter lebar, 20-30 cm tinggi dan 7.5 meter tinggi.  


Pengaporan untuk tanaman kangkong adalah penting untuk mendapatkan pH tanah pH 5.5-pH 6.5 dengan menabur sebanyak 3-5 mt sehektar. Keperluan GML bagi tanah mineral sebanyak 3-6 mt/ha jika pH kurang dari pH5 . Pembajaan asas ialah dengan baja organik adalah sebanyak 3-5 mt/ha/ musim (4kg/batas) dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 3 kali aplikasi sebanyak 0.5 - 0.6 metrik tan sehektar semusim atau sebanyak 50 gm/pokok. Kawalan rumpai sebaiknya dibuat secara manual iaitu dengan mencabut rumpai dicelah2 kangkong. Elakkan menggunakan racun rumpai atau racun perosak di kawasan tanaman kangkung.



Tanaman kangkung perlukan air yang banyak dan penyiraman mesti dibuat sekurang2nnya 2 kali sehari untuk pastikan pokok subur dan cukup air. Kangkung diatas air atau didalam kolam perlu di analisa kandungan sisabaki kerana berkemungkinan kolam mengandungi racun terkumpul dari kawasan kebun sayur. Antara masaalah tanaman kangkong adalah serangan oleh Serangga Kepinding Mictis (Mictis longiformis) yang menghisap cairan pokok mengakibatkan pokok layu. Serangga ini dikawal dengan buang pokok diserang dan gunakan racun Dimethote atau Cypermethrin mengikut arahan pada label. Terdapat Penyakit Karat Putih (Albugo-impomeae aquitica) yang menyebabkan karat putih dibahagian bawah daun dikawal dengan giliran tanaman atau semburan racun kimia seperti Mancozeb atau Benomyl ikut aturan APB. 


Kangkung boleh di tuai antara 28 -35 hari lepas tanam dan dijual lingkungan RM 0.50 hingga RM 0.80 seklogram pada harga ladang. Kangkung yang dituai perlu dibersihkan dari tanah pada akar dan dimasukkan dalam baul buluh untuk dihantar segera ke pasaran. Pastikan TIDAK MENYEMBUR racun beberapa hari sebelum menuai untuk elakkan Sisabaki Racun. Bagi racun Dimethoate perlukan 7 hari, Racun Cymethrin (3 hari), Benomyl dan Mancozeb (14 hari) sebelum menuai. Kangkong juga mempunyai simptom kekurangan nutrien seperti kekurangan N, P,K dan zat pekit seperti Ca, Fe, Mo, Boron, Mn dan sebagainya yanng perlu dikaji dan diatasi masaalah ini.


Penuaian kangkong adalah dengan mencabut menggunakan tangan keselurohan pokok bersama-sama akarnya untuk mengekalkan kesegarannya dan tahan lama. Bersihkan dari tanah dengan membasuh menggunakan air bersih dan ikat dengan lapisan kertas surat khabar dan masukkan dalam bakul buloh yang dilapis kertas sebelum dihantar kepasar. Secara fizikal kangkong perlu di tuai sebelum ianya mula menjalar atau pokok mulai tunduk (asalnya menegak). Potensi pengeluaran hasil kangkong sebanyak 10-15 metrik tan sehektar tetapi lazimnya sebanyak 12 mt sehektar di kebanyakan tempat di Malaysia. Apabila saya buat kajian di Kebun Sayur Kemersil di Sengkang (Tan Soo Tiok) katanya sering dapt 11-12 mt sehektar sahaja setiap musim penanaman.



Di Malaysia sayur kangkung di masak sebagai sayur goreng kangkung yang ditumis dengan udang atau ikan bilis serta dimakan dengan nasi panas dengan lauk tambahan ikan kering. Sayur Kangkung Goreng Belacan adalah satu resepi yang sangat popular dikalangan Restoran Masakan Thai (Restoran Tomyam). Sayur kangkung juga dimakan sebagai ulam dengan mencelur dalam air panas dan juga campuran dalam makanan sperti rojak, Yong Tau Fu, makanan sotong, nasi goreng kampong, Pecel, Pasembur dan sebagainya. Penanaman kangkung secara Teknologi Hidrponik dan Teknologi Fertigasi di kawasan keliling rumah juga sesuai. Kempen Bumi Hijau memasukkan tanaman kangkung d kawasan rumah.


MAKAN KANGKUNG ....DENGAN NASI PANAS....
KANGKUNG PERCUMA...PUCUK YANG MANIS...
RASANYA LAZAT....NAK TANAM TAK MALAS...
ADA SISABAKI RACUN ...KENALAH AWAS....


By:
M Anem
Suka kangkung goreng belacan.
DOA Muar
Johor
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...